|
MELAKA: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mencederakan kakak kandungnya dengan menumbuk hidungnya sehingga retak, di sebuah rumah di Estet Kemendor, Jasin, dua minggu lalu.
Tertuduh, L Kalithasan, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap kakaknya, L Umadevi, 32, dengan menumbuk hidungnya hingga tulang hidung patah.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan rumah KH 6 Estet Kemendor, Jasin pada pada 12 November lalu, jam 10 malam.
Dia dituduh mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom yang melakukan pendakwaan, mencadangkan jaminan RM15,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu pengadu iaitu kakaknya dengan apa cara sehingga perbicaraan kes selesai.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah kerana dia tidak bekerja dan perlu menanggung isteri dan anak yang sakit.
Hakim Darmafikri Abu Adam kemudiannya membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melapor diri kepada pengawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Januari depan.
https://www.bharian.com.my/berit ... akak-sehingga-patah |
|