CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 25584|Reply: 0

[Wilayah Persekutuan] Kuatkan diri mengenangkan anak

[Copy link]
Post time 9-12-2023 04:54 PM | Show all posts |Read mode

NAZRIL disamping isterinya, Nor Haslinda memohon bantuan bagi membuat rawatan dialisis di kediamannya di PPR Hiliran Ampang. FOTO Hazreen Mohamad

Kuala Lumpur: "Banyak kali juga saya hampir putus asa tapi kuatkan diri kerana mengenangkan anak yang tak patut lalui kesusahan ini," kata Mohamad Nazril Izehar Desa yang menghidap masalah buah pinggang tahap lima.

Mohamad Nazril Izehar, 44, yang sebelum ini bekerja sebagai penghantar barangan dan dokumen tidak mampu menyara keluarga selepas diberhentikan setahun lalu akibat masalah kesihatan.

Bapa empat anak itu berkata, keadaan bertambah teruk selepas dia disahkan menghidap masalah buah pinggang tahap lima Mac lalu yang menyebabkannya kerap berulang-alik ke hospital selain menjalani rawatan dialisis dengan kekerapan tiga kali seminggu.

Menurutnya, bukan mudah menerima kenyataan itu namun isteri, Nor Haslinda Adzhari, 43, banyak memberi semangat dan membantunya menguruskan anak terutama tiga daripadanya yang masih bersekolah.



"Dulu saya banyak bergaul dengan masyarakat dan dapat bantu mereka malah berisi, tak macam sekarang.

"Jadi pada awalnya memang tak boleh terima. Siapa boleh terima daripada seorang normal yang boleh makan macam biasa tapi kini tidak lagi, malah jadi terhad?

"Minum air pun boleh 500 mililiter (ml), makanan tak boleh masin, protein tak boleh banyak dan senang cerita banyak pantang larangnya.

"Tapi nak buat macam mana, Allah sudah uji jadi saya, jalani saja dalam keadaan kedua kaki bengkak, perut membesar dan leher yang terpaksa ditebuk sebelum ini," katanya ketika ditemui di rumahnya dekat Blok B, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran Ampang, di sini.

Selain masalah buah pinggang, Mohamad Nazril Izehar juga menghidap diabetes sejak hampir enam tahun lalu yang menyebabkan dia perlu bergantung kepada lebih lima ubat setiap hari seperti disyorkan doktor.

Katanya, apabila sakit, kekuatannya tinggal 20 ke 30 peratus saja tapi bersyukur kerana isteri banyak bantu termasuk dalam mengurus anak mereka.

"Ikut hati memang nak sembuh dan nak dapat balik badan yang mudah bergerak macam dulu  tapi ambil masa lama.

"Pernah juga tanya penghidap buah pinggang yang senasib dan mereka kata kena banyak sabar kerana penyakit itu  tak boleh baik 100 peratus.

"Saya harap supaya diberi kekuatan dan keajaiban untuk sembuh, sekurang-kurangnya jadi pemandu e-hailing  kerana nak bantu keluarga.

"Bantuan pencen ilat RM1,000 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan RM500 sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tidak cukup walaupun rumah tak perlu bayar sewa selepas terima bantuan Program Baiti Jannati hasil inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan," katanya.

Sementara itu, isterinya, Nor Haslinda berkata, dia perlu menyesuaikan diri dengan rutin harian mengurus anak dan suami yang tak dapat berdikari kerana memerlukan bantuannya.

"Menangis juga saya mula-mula dapat tahu keadaannya tapi beri dia kata-kata semangat dengan ingatkan yang ada orang lain lebih susah jadi perlu terima ujian dengan reda.

"Lama juga suami ambil masa untuk terima namun doktor pun beri semangat untuk dia teruskan rawatan kerana jika tidak, kesihatannya semakin terganggu.

"Saya pula tak tahu memandu tapi tetap teman suami ke hospital menaiki kenderaan e-hailing tapi lama-kelamaan sudah biasa dengan rutin harian.

"Harapan saya semoga suami lebih semangat berjuang melawan penyakit, kuatkan semangat, reda dan banyak berdoa kepada Allah," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB bernombor 7001974762  atas nama Mohamad Nazril Izehar Desa atau Bank Islam bernombor 12056020207273 atas nama  Nor Haslinda Adzhari atau menghubungi mereka di talian 017-2455836.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... i-mengenangkan-anak
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-1-2025 04:09 PM GMT+8 , Processed in 0.040728 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list