|
Kelihatan orang ramai kembali memakai topeng muka pada Tinjauan pemakaian topeng muka dalam kalangan masyarakat susulan peningkatan kes Covid-19. FOTO ASWADI ALIAS
Kuala Lumpur: Sediakan payung sebelum hujan dan berkubu sebelum alah antara peribahasa yang menggambarkan situasi di negara ini susulan peningkatan semula kes Covid-19 ketika ini.
Tinjauan mendapati rata-rata orang ramai yang ditemui menyarankan pemakaian pelitup muka dilaksanakan terutama kepada mereka yang bergejala.
Pekerja swasta, Nur Syamsiah Kamarul Bashah, 27, berkata, pemakaian pelitup muka perlu dilaksanakan dalam situasi atau tempat tertentu.
"Seeloknya pihak berwajib meneliti semua penguatkuasaan pemakaian pelitup muka yang sedikit sebanyak dapat mengurangkan risiko untuk berjangkit.
"Saya bersetuju jika pemakaian semula pelitup muka dilaksanakan tetapi tidak diwajibkan kepada semua kecuali mereka yang mempunyai masalah kesihatan termasuk selesema, batuk atau gejala yang berkait.
"Namun, kita juga harus tetap berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling memandangkan Covid-19 masih ada dan kebelakangan ini kes semakin membimbangkan," katanya kepada Harian Metro.
Syamsiah berkata, masyarakat harus tidak alpa menjaga keselamatan diri ketika meraikan apa-apa sambutan atau perayaan dalam suasana kes penularan Covid-19 meningkat.
"Selain pelitup muka, sediakan juga kit ujian kendiri sekiranya perlu dan tambah ubat-ubatan sebagai ikhtiar kesihatan," katanya.
Sementara itu, pengawal keselamatan, Tharamalingam Muniandy,69, berkata pemakaian pelitup muka mesti diamalkan walaupun sudah tidak menjadi kewajipan.
"Sebagai individu yang berisiko tinggi, saya sentiasa berhati-hati termasuk memakai pelitup muka terutama di tempat sesak.
"Kita tidak boleh jangka bila dan di mana kita dijangkiti virus terbabit, sebab itu kita harus mengambil langkah proaktif bagi memastikan kesihatan kita terjamin.
"Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab dengan mengambil tahu keadaan sekeliling," katanya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan berlaku peningkatan kes jangkitan Covid-19 tetapi masih terkawal dan dijangka akan terus meningkat selepas sambutan Krismas dan Tahun Baharu, selain disebabkan cuti sekolah yang bermula Sabtu.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... muka-jika-bergejala |
|