Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 48, bersama suami, Kamaruzaman Othman, 43, tetap meneruskan perniagaan kedai runcitnya walaupun dinaiki air banjir di Kampung Nibong. NSTP/Ghazali Kori
KUALA BERANG: Meskipun warung dan kedai runcit digenangi air sehingga paras betis berikutan banjir yang melanda, seorang peniaga di Kampung Nibong, dekat sini, tetap menjalankan perniagaan seperti biasa.
Engku Hasmah Engku Kamaruzaman, 48, berkata dia berbuat demikian bagi memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan.
Katanya, setiap tahun kedainya akan dilanda banjir berikutan kedudukannya yang berhampiran Sungai Telemong.
Berikutan itu, jalan di kedua-dua hala kampung ini biasanya ditenggelami banjir dan penduduk terputus hubungan untuk keluar mencari barangan di kawasan sekitar.
"Oleh itu, saya membuka perniagaan bagi memudahkan penduduk setempat membeli barangan yang diperlukan.
"Lagi pun, berniaga di dalam air ini sudah menjadi kebiasaan bagi saya sejak arwah nenek yang memulakan perniagaan kedai runcit dan warung," katanya ketika ditemui di kedainya, hari ini.
Engku Hasmah berkata, dia yang dibantu suaminya Kamaruzaman Othman, 43, memulakan perniagaan pada jam 6 pagi sehingga jam 11 malam.
Katanya, dia tidak menyimpan stok yang banyak pada musim tengkujuh bagi mengelak barangan rosak akibat ditenggelami banjir.
Suaminya berkata, berniaga di dalam air sudah menjadi kebiasaan, terutama bagi isterinya yang mewarisi perniagaan itu daripada neneknya.
"Walaupun ditenggelami air hingga paras betis, kedai tetap dibuka seperti biasa. Bagaimanapun jika air melimpah dalam kedalaman tidak munasabah, barulah kami tutup perniagaan sepenuhnya," katanya.