|
MONYET berkeliaran di rumah penduduk di Kampung Parit Sikun Laut. FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Bumbung rumah saya seolah-olah gelanggang bola, haiwan itu berlari ada yang melompat hingga terjatuh tiang sengkuap," kata Halimah Biren, 67, susulan 'serangan' monyet liar di Kampung Parit Sikun Laut, dekat Parit Raja sejak bertahun lalu.
Dianggarkan lebih 100 monyet 'berkampung' di atas bumbung rumah malah tidak kurang yang turut melarikan barangan milik penduduk kampung terbabit.
Menurut Halimah, beberapa tahun sebelum itu, seorang penduduk meninggal dunia selepas motosikal ditunggang melanggar monyet di kawasan kampungnya.
Katanya, anak mangsa pula dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) namun sudah pulih seperti sedia kala.
"Haiwan liar datang ke rumah penduduk setiap hari antara 8 hingga 10 pagi. Tetapi, apabila ada penghuni lelaki dalam rumah, haiwan ini tidak datang pula, seolah-olah takut pada lelaki.
"Gangguan sudah berlarutan sejak lebih lima tahun lalu malah menantu saya (Zainab Zakaria, 27) retak di tangan kerana terjatuh selepas dikejar haiwan liar itu.
"Kejadian berlaku ketika dia baru pulang daripada kuliah di UTHM (Universiti Tun Hussien Onn) dan kini dia masih cuti sakit," katanya ketika ditemui.
Tidak cukup dengan itu, seekor kucing milik Halimah turut parah apabila digigit haiwan berkenaan.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, Asiah Othman, 67, berkata, pengalaman bergelut dengan monyet hujung tahun lalu masih segar dalam ingatannya.
Katanya, kejadian berlaku ketika dia berada dalam rumah tanpa menyedari kehadiran monyet liar terbabit.
"Saya terkejut dan cuba menghalau keluar tapi haiwan itu melawan. Kami bergelut berapa minit menyebabkan saya cedera.
"Jika monyet itu datang, kami tidak berani keluar kerana haiwan itu bukan sedikit tapi ratusan. Biasanya apabila monyet itu beredar ke kebun berdekatan, barulah kami keluar," katanya.
Sementara itu, Pejabat Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Batu Pahat ketika dihubungi memberitahu, pihaknya belum menerima laporan daripada penduduk kampung berkenaan.
Katanya, pihaknya meminta penduduk menghubungi Perhilitan Batu Pahat untuk membolehkan tindakan diambil untuk mengatasi serangan monyet terbabit.
"Kita akan bantu dan kalau perlu kita akan menembak haiwan itu. Kita akan gerakkan operasi untuk membantu penduduk," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... erang-dengan-monyet |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|