View: 9720|Reply: 0
|
[Johor]
Mana jaminan hitam putih? - pemilik Perodua Bezza
[Copy link]
|
|
Nagakanni masih menantikan jaminan hitam putih daripada Perodua. FOTO FACEBOOK S Nagakanni
Johor Bahru: Pemilik Perodua Bezza rosak dalam tempoh kurang lapan jam selepas dibeli, menyatakan syarikat pengeluar kenderaan itu tidak pernah memberikan perjanjian secara bertulis tentang penyelesaian masalahnya.
S Nagakanni, 31, berkata terutamanya mengenai jaminan serta perjanjian bertulis sama ada kereta itu akan dibeli semula dan dia tidak perlu membayar pinjaman kereta berkenaan.
Katanya, dia maklum Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) sudah memberi kenyataan mengenai isu dihadapinya semalam, bagaimanapun dia mahu membetulkan sedikit fakta mengenai kenyataan yang memaklumkan penyelesaiannya adalah untuknya membeli kereta kedua dengan cara memohon semula pinjaman kereta kedua.
"Namun adakah jaminan secara hitam putih yang maklumkan kereta pertama saya akan dibeli semula dan saya tak perlu bayar pinjaman pertama.
"Tiada jaminan itu. Sudah lebih dua bulan masih belum ada maklumat secara menyeluruh mengenai pembelian balik, tempoh pembelian balik, pembayaran pinjaman dan semua itu.
"Isunya mudah. Saya beli kereta dengan PERODUA - enjin rosak kononnya sebab ada benda asing seperti gula. Saya tak dapat ganti kereta baru dan masih kena bayar kereta itu setiap bulan.
"Kalau betul PERODUA kata nak beli kereta saya, silakan. Tetapi mana jaminan 'black and white'. Sehingga hari ini saya masih belum terima apa-apa.
"Jangan buat kenyataan media hanya untuk redakan suasana tapi sebenarnya tak selesaikan pun masalah. Saya nak penyelesaian, bukan nak cari gaduh atau viral (tular)," katanya dalam muat naik di akaun Facebook, malam tadi.
Semalam, PERODUA dilaporkan memberi jaminan untuk mengutamakan kes seorang pelanggan yang berdepan kerosakan Perodua Bezza baru dibeli dalam tempoh tidak sampai lapan jam.
Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd, JH Rozman Jaafar, dilaporkan berkata merujuk kepada aduan yang diterima daripada pelanggan itu, PERODUA sudah berkomunikasi dengannya sejak Oktober tahun lalu.
Terdahulu dilaporkan bahawa kegembiraan seorang kerani memiliki Perodua Bezza yang baru dibeli, bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kereta itu rosak dalam tempoh tidak sampai lapan jam.
Lebih malang, Nagakanni terpaksa membayar pinjaman bulanan 'kereta baharunya' itu sebanyak RM537 sebulan, walaupun kenderaan itu kini tersadai di pusat servis.
Nagakanni, dilaporkan berkata beliau membeli kereta itu dari sebuah pusat jualan kenderaan di Segamat, jam 11 pagi, pada 17 Oktober lalu.
Katanya, kira-kira lapan jam kemudian ketika mahu menghidupkan kereta pada jam 7.40 malam, kenderaan itu tidak dapat dihidupkan.
"Pada 18 Oktober, kereta saya dibawa ke pusat servis di Segamat dan mekanik di sana memaklumkan bahawa enjinnya telah rosak.
"Berikutan kejadian itu, saya memohon mendapatkan gantian kereta baharu sebelum diminta menunggu keputusan dari ibu pejabatnya yang memerlukan tempoh dua minggu hingga sebulan.
"Pada 9 November pula, individu dikenali sebagai Sufian dari ibu pejabat Perodua menghubungi saya, memaklumkan berdasar siasatan awal, enjin kereta itu rosak disebabkan ada benda asing seperti gula dan menyatakan bahan itu tidak digunakan oleh pengeluar kereta itu," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Nagakanni mendakwa, dia tidak pernah membawa sebarang makanan atau gula di dalam tempoh lapan jam selepas menerima kereta itu apatah lagi mengusik bahagian enjin kenderaan itu.
Bercerita lanjut, Nagakanni berkata, dia sekali lagi dihubungi Sufian itu dan dimaklumkan untuk membuat pinjaman baharu bagi mendapatkan kereta yang baharu, pada 15 November lalu.
"Saya kata saya boleh buat pinjaman baharu hanya selepas dia selesaikan pinjaman lama saya terlebih dahulu kerana sehingga hari ini saya masih bayarkan pinjaman kereta yang rosak itu.
"Namun pada 4 Disember, jurujual dari pusat jualan di Segamat meminta dokumen daripada saya untuk membuat pinjaman kedua tetapi saya menolak permintaan itu kerana pinjaman pertama saya masih belum diselesaikan.
"Sejurus itu pada 8 Disember, khidmat pelanggan memberitahu bahawa cadangan akhir belum dipersetujui dan ibu pejabat sedang menyelidik kesilapan dalaman dan mereka belum boleh beri persetujuan hitam putih untuk tukar kereta saya dengan yang baharu," jelasnya.https://www.hmetro.com.my/mutakh ... milik-perodua-bezza |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|