|
POLIS menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO L Manimaran
Ipoh: Perselisihan faham mengenai masalah kewangan dikenal pasti sebagai punca yang membawa kepada pembunuhan seorang wanita di sebuah kedai aksesori telefon bimbit di Taman Rasi Jaya, Menglembu, di sini, hari ini.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa berusia 49 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian disyaki akibat ditikam lelaki berusia 54 tahun yang juga pekerjanya.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan kejadian 10.55 pagi tadi hasil maklumat awam dan punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham mengenai masalah kewangan.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang mengusahakan kedai aksesori telefon bimbit berkenaan disyaki ditikam oleh pekerjanya itu, sementara teman lelaki mangsa yang juga saksi kes cedera.
"Suspek yang turut mengalami kecederaan dalam insiden itu berjaya ditangkap dan pemeriksaan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Katanya, teman lelaki mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi menerima rawatan.
"Penangkapan suspek bererti kes ini sudah berjaya diselesaikan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Permohonan tahanan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Ipoh, esok," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... kerja-bunuh-majikan |
|