|
Gambar tular tiga lelaki yang menceroboh ditahan oleh pihak polis yang mengawal kediaman rasmi MB Selangor. - Foto X
SHAH ALAM: Tiga lelaki ditahan polis kerana menceroboh masuk dalam kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata ketiga-tiga lelaki berusia 31 hingga 35 tahun itu ditahan pada jam 7.30 malam.
Beliau berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 6.10 petang yang dibuat oleh Pembantu Operasi di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor.
Katanya, siasatan mendapati kesemua suspek menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton Waja untuk memasuki kediaman berkenaan melalui Pondok Pos Pengawal utama tanpa mengemukakan sebarang jemputan secara rasmi daripada pihak kerajaan negeri.
"Bertindak atas maklumat, pada jam 7.30 malam tadi tangkapan ke atas kesemua suspek dibuat bersama rampasan sebuah kenderaan jenis Proton Waja yang digunakan oleh mereka.
"Suspek dalam kes ini adalah tiga lelaki tempatan dipercayai bertugas di sebuah media serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
"Kesemua suspek memberi alasan untuk menghadiri satu mesyuarat yang diadakan di kediaman berkenaan tetapi tidak mempunyai jemputan rasmi daripada pihak Menteri Besar Selangor," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata, kesemua tangkapan dibenarkan reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes ini.
Jelasnya, siasatan dijalankan mengikut seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai tiga bulan atau denda yang boleh sampai RM1,000 atau kedua-duanya sekali.
"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut bolehlah menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mira Noraien Norashid di talian 011-11430765," katanya.
Semalam, tular rakaman di laman X yang memaparkan tiga lelaki ditahan selepas didakwa menceroboh kawasan kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7 dekat sini.
https://www.bharian.com.my/berit ... n-rasmi-mb-selangor |
|