Ally Iskandar (kiri) sedang memberikan penerangan mengenai fungsi dan peranan media kepada 25 peserta terdiri kakitangan PTPTN di sebuah hotel di Port Dickson, baru-baru ini. - Foto NSTP/MOHD KHIDIR ZAKARIA
PORT DICKSON: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi pendedahan dan panduan kepada 25 kakitangannya untuk lebih memahami fungsi dan peranan media yang menjadi instrumen penting dalam dunia komunikasi hari ini serta kumpulan sasarannya.
Tenaga pengajar, Ally Iskandar Mohd Mardzi, berkata PTPTN adalah sebuah perbadanan yang ditubuhkan untuk menguruskan pembiayaan kewangan dan pinjaman pendidikan kepada pelajar di universiti awam dan swasta di negara ini.
"Atas urusan yang bersangkutan membabitkan orang ramai, maka kakitangan PTPTN ini diberi pendedahan untuk lebih memahami mengenai platform media dan kumpulan sasaran.
"Mereka seharusnya faham mengenai kepentingan memiliki jurucakap berwibawa dalam sesebuah organisasi yang mana perlu tampil dengan imej, perilaku dan pola suara yang berketrampilan," katanya ketika ditemui dalam program Kursus Media PTPTN bersama Omnia Academy selama tiga hari di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.
Ally berkata, peserta juga harus faham fungsi dan peranan seorang pengacara majlis untuk tampil dengan persona yang mampu menguasai acara di khalayak dengan menggarap kempen media yang kreatif mengikut platform media mereka sendiri.
"Kita juga berharap masyarakat menghargai tugas dan peranan PTPTN dan media dengan menghasilkan kandungan yang dekat dengan khalayak serta faham cara Media Prima mengurus platform digital," katanya.
Beliau berkata, objektif program itu supaya peserta lebih yakin dalam merencana, mengolah dan menjayakan penyampaian maklumat atau kempen PTPTN dengan menggunakan platform media yang pelbagai secara lebih berkesan.
Peserta, Muhammad Jihadullah Othman, 37, yang bertugas sebagai Pegawai Pemasaran PTPTN berkata, program itu banyak memberi manfaat dan membantunya untuk lebih yakin dalam menjalankan tugas.
"Ia juga memberi cara bagaimana kita nak promosi program di media sosial, termasuk teknik menjadi jurucakap yang baik.
"Program seperti ini amat baik, kami dapat ilmu yang baru biarpun sebelum ini sudah biasa bercampur dengan orang ramai dan ia memberikan kami lebih berkeyakinan dalam menjalankan tugas," katanya yang sudah 14 tahun bertugas di PTPTN.
Bagi Hasliza Abdul Latif, 45, yang bertugas Bahagian Komunikasi Korporat di Kuala Lumpur, program dianjurkan sangat baik untuk kakitangan PTPTN menambah ilmu dan lebih berkeyakinan.
"Program seperti ini sangat bagus, saya banyak belajar benda yang baharu biarpun sudah 22 tahun bertugas di sini," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar berkata, program itu amat berguna bagi memberi keyakinan kepada kakitangan PTPTN sepanjang mereka berurusan dengan orang ramai.
"Ia kursus yang menarik, bagus untuk dikongsi dengan membuat konten di media sosial bagi penambahbaikan," katanya.
|