|
JUDIN menunjukkan kotak yang diterima sepatutnya mengandungi telefon tetapi hanya menerima plastik pembalut barang sahaja. FOTO Rosman Shamsudin
Slim River: Seorang lelaki mendakwa kerugian RM2,500 selepas hanya menerima plastik pembungkus barang di dalam kotak tanpa telefon pintar yang dibeli secara pos, Isnin lalu.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Judin, 23, berkata, pada 6 Januari lalu, dia membeli telefon pintar berjenama terkenal daripada sebuah kedai alat telekomunikasi di Selangor.
Menurutnya, penjual kemudiannya mengirim pesanan berkenaan menggunakan perkhidmatan kurier selepas dia membuat pembayaran RM2,500 untuk pembelian telefon pintar terbabit.
"Isnin lalu, saya menerima bungkusan kotak terbabit tetapi bila dibuka, bukan telefon pintar yang diperoleh namun hanya plastik pembalut barangan saja yang ada di dalamnya.
"Saya kemudiannya menghubungi penjual dan memaklumkan perkara terbabit," katanya.
Menurut Judin, penjual juga terkejut malah selepas dimaklumkan berkaitan cara pembungkusan kotak berkenaan, dia mengatakan itu bukan bungkusan yang dikurier.
Kata Judin, dia dan penjual kemudiannya menghubungi syarikat kurier berkenaan untuk membuat laporan berkaitan perkara terbabit.
"Saya dan penjual syak bungkusan terbabit diceroboh berdasarkan maklumat cara pembungkusan yang dimaklumkan oleh penjual berkenaan sebelum membuat penghantaran," katanya.
Judin kemudiannya melaporkan kejadian di Balai Polis Slim River, Selasa lalu malah penjual turut melakukan perkara sama.
Tambah Judin, dia menabung selama dua tahun untuk membeli telefon pintar berkenaan.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... aib-di-tangan-toyol |
|