|
Kira-kira 1,000 jemaah hadir sambut Kempen 'Subuh Macam Jumaat' diadakan di Masjid Nurul Huda, Kampung Olak Lempit di sini hari ini.Foto Samadi Ahmad
Sepang: Kempen 'Subuh Macam Jumaat' yang julung kali diadakan Masjid Nurul Huda, Kampung Olak Lempit, di sini, hari ini, berjaya mendapat sambutan kira-kira 1,000 jemaah.
Nazir masjid, Muhammad Aminuddin Mohamad Mansor, 35, berkata, inisiatif terbabit dilaksanakan dengan niat mengajak orang ramai datang ke masjid itu kerana sebelum ini, hanya empat saf jemaah hadir menunaikan solat Subuh berjemaah.
Menurutnya, walaupun inisiatif ini diwar-warkan dalam masa singkat dan tidak sampai seminggu melalui grup aplikasi WhatsApp kampung, namun pihaknya bersyukur idea itu berjaya menarik kehadiran penduduk setempat.
Katanya, sebelum ini, rata-rata jemaah yang datang menunaikan solat di masjid adalah golongan berumur.
"Keadaan itu mendorong pihak masjid melakukan sesuatu bagi menarik kehadiran anak muda.
"Inisiatif ini juga menjadi persediaan kepada jemaah kerana bulan Ramadan bakal tiba dan ia menjadi salah satu usaha melipat gandakan pahala puasa dengan solat secara berjemaah di masjid selain solat sunat terawih," katanya.
Solat Subuh diimamkan Muhammad Qaedi Masnan dan selepas itu, diadakan kuliah yang disampaikan penceramah jemputan, Ustaz Redzua Nahar.
Jemaah yang hadir turut menikmati sarapan nasi lemak daun pisang yang disediakan penganjur.
Muhammad Aminuddin berkata, inisiatif ini menjadi titik tolak kepada orang ramai bagi melatih diri untuk hadir solat secara berjemaah ke masjid.
Katanya, kempen 'Subuh Macam Jumaat' akan diteruskan dan pihaknya merancang mengadakan pelbagai aktiviti bagi menarik kehadiran penduduk.
Sementara itu, pelajar, Amar Fahmi, 9, berkata, dia pertama kali solat Subuh di masjid dan teruja melihat kehadiran jemaah yang ramai.
Katanya, dia hadir bersama datuk selepas mendapat maklumat mengenai kempen diadakan pihak masjid itu daripada ahli keluarga.
"Suasana solat Subuh ini sangat meriah dan jemaah yang hadir juga dapat menimba ilmu melalui kuliah Subuh disampaikan penceramah jemputan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ihadiri-1000-jemaah |
|