View: 7942|Reply: 0
|
[Selangor]
‘Awak sentiasa di hati saya dan anak-anak’
[Copy link]
|
|
Gambar yang dimuat naik oleh Ida bersama suaminya di akaun TikToknya.
PETALING JAYA – ‘Awak sentiasa di hati saya dan anak-anak’.
Itulah luahan isteri kepada peniaga produk kosmetik, Norhisyam Ismail, 43, yang terjatuh ke dalam Sungai Kelantan dari Jambatan Tendong, Kota Bharu, Isnin lalu.
Wanita tersebut hanya dikenali sebagai Ida meluahkan perasaannya itu sambil memuat naik sebuah gambar mereka suami isteri di akaun TikToknya.
Ujar Ida lagi, kebaikan suaminya membuatkan dirinya dan anak-anak berasa sangat beruntung mempunyai figura itu sebagai ketua keluarga.
“Suami saya sangat baik. Saya dan anak-anak sangat-sangat beruntung. Kami memang keluarga sederhana,” katanya.
Di ruangan komen kelihatan Ida turut menepis dakwaan orang ramai berkenaan gaya hidup mewah mereka sekeluarga yang menjadi punca tindakan suaminya itu.
“Kami sama-sama berusaha untuk dapatkan sesuatu dan bahagia bersama anak-anak kami. Hanya dia, saya dan anak-anak je yang tahu,” katanya.
Dalam pada itu, Ida turut berharap agar jasad suaminya ditemui hari ini setelah memasuki hari keempat operasi mencari dan menyelamat.
“Insya-Allah mudah-mudahan jumpa hari ini. Doakan saya dan anak-anak kuat,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Pasir Mas kira-kira pukul 6.48 petang, Isnin lalu.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan dengan kerjasama pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Polis masih menjalankan siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai kes orang hilang. Semua pihak diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung dengan kejadian itu demi menghormati privasi keluarga mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/01 ... saya-dan-anak-anak/ |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|