View: 37313|Reply: 0
|
[Selangor]
Rumah diubahsuai jadi kedai dobi merimaskan jiran
[Copy link]
|
|
KHAIRONISHA menunjukkan kedai dobi di belakang rumahnya menyebabkan mereka sekeluarga sesak nafas, sakit dada dan kulit berasa gatal-gatal. FOTO Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
Selayang: Penduduk Selayang Baru, di sini, menggesa agar Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyiasat tindakan pemilik rumah yang mengubahsuai kediaman dimiliki menjadi kedai dobi.
Penduduk Selayang Baru, Khaironisha Othman, 39, berkata, disebabkan lokasi yang terletak di belakang rumahnya menyebabkan mereka sekeluarga sesak nafas, sakit dada dan kulit berasa gatal-gatal.
"Jika hari pelanggan dobi itu ramai, pelbagai bau seperti kepam dan hapak pakaian yang keluar dari ekzos dobi itu masuk ke dalam rumah kami.
"Dari dulu lagi kami berasa pelik adakah pihak MPS meluluskan lesen operasi dobi dibina di kawasan kediaman? Dengan tiadanya sistem pengudaraan yang baik," katanya ketika ditemui Harian Metro.
Khaironisha yang tinggal 14 tahun di kawasan itu berkata, keadaan itu berisiko menjejaskan kesihatan mereka yang tinggal berdekatan dengan kedai dobi itu.
"Gangguan bunyi bising daripada mesin basuh dan bau kepam, busuk serta habuk ini sangat menyesakkan dada kami.
"Kami amat mengharapkan pihak MPS segera mengambil tindakan terhadap situasi seperti ini," katanya.
Dia turut memaklumkan sudah membuat aduan terhadap pihak berkuasa tempatan namun masih tiada lagi sebarang tindakan.
Seorang lagi penduduk Selayang Baru yang hanya mahu dikenali sebagai Azah, 61, berkata, pengubahsuaian yang dilakukan itu menyebabkan dia tidak selesa tinggal di rumahnya sendiri.
"Bila orang ramai guna mesin basuh di dobi itu waktu malam, bunyinya mengganggu saya nak tidur. Saya rasa macam duduk belakang enjin bas RapidKL," katanya.
Selain itu katanya, bau debu sabun juga menyebabkan dirinya berasa sesak nafas dan kulit berasa gatal.
Sementara itu, jurucakap Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Korporat MPS berkata, pihaknya menjalankan siasatan susulan aduan yang dibuat dan mendapati premis itu mempunyai Lesen Perniagaan MPS Tahun 2024.
Bagaimanapun katanya, hasil siasatan mendapati terdapat pelanggaran syarat pelesenan MPS oleh premis dobi itu seperti tidak menyediakan alat pemadam api dan tidak membuat pemasangan 'blower' dengan sempurna.
"Notis Pematuhan Syarat Lesen Perniagaan dikeluarkan kepada pemilik premis dan ditampal di pintu premis untuk tindakan pemilik selanjutnya.
"Pemilik premis perlu hadir ke MPS bagi tindakan pematuhan lesen perniagaan dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis dikeluarkan. Jika pemilik premis gagal mengemukakan tindakan mengikut tempoh masa seperti yang telah dinyatakan, lesen perniagaan premis ini boleh dibatalkan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... bi-merimaskan-jiran |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|