View: 8278|Reply: 0
|
[Selangor]
'Hinaanmu jadi azimat kekuatanku'
[Copy link]
|
|
AIKA dilahirkan istimewa apabila mata kirinya mengalami kebutaan namun bakal guru ini menjadikan kekurangan sebagai pembakar semangat.
Cheras: Lebih 15 tahun lalu, wanita ini pernah digelar dengan panggilan yang melukakan hatinya kerana dilahirkan istimewa apabila mata kirinya mengalami kebutaan.
Bagaimanapun, bakal guru ini menjadikan kekurangan dirinya sebagai pembakar semangat untuknya melakar kejayaan dalam pendidikannya.
Buktinya, Nur Aika Syakirah Mansor, 23, yang juga penuntut tahun akhir Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, di sini, bakal bergelar pendidik sekali gus 'melepaskan' diri daripada rasa rendah diri dengan keadaan matanya itu.
Wanita berasal dari Besut, Terengganu yang lebih mesra disapa Aika itu juga kini aktif di TikTok untuk berkongsi pengalamannya dan berinteraksi dengan orang ramai bagi membina keyakinan diri apabila inisiatifnya mendapat pujian netizen.
Berkongsi kisahnya, Aika berkata, dia dilahirkan dengan mata kiri yang mengalami kebutaan dan daya penglihatannya juga hanya bergantung pada mata kanannya saja sehingga kini.
Menurutnya, dia juga mengakui pernah rasa rendah diri dan tiada keyakinan dengan kekurangannya apatah lagi sering diejek dan digelarkan dengan panggilan yang tidak enak didengari seperti 'lanun', 'orang buta' dan 'dajal'.
"Zaman kanak-kanak adalah episod paling sukar kerana saya digelarkan dengan panggilan yang melukakan hati, malah paling menyedihkan apabila ada juga yang bertanya apa dosa yang saya buat sehingga mata saya jadi begitu.
"Saya hanya memendam rasa dan umi (ibu) yang selalu beri semangat. Semua itu juga menjadi alasan untuk saya belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan orang istimewa juga boleh berjaya," katanya ketika dihubungi.
Katanya, dia yang meminati kerjaya sebagai pendidik kini mengikuti jurusan Bahasa Melayu sebagai subjek utama dan memilih Pendidikan Khas (Masalah Penglihatan) sebagai minor jurusannya sejak lima tahun lalu.
"Saya memilih masalah penglihatan kerana saya juga berada dalam komuniti itu dan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat, jadi saya memahami apa yang golongan itu lalui selain mahu belajar kod Braille.
"Alhamdulillah, saya berada dalam lingkungan yang positif di sini dan rakan juga tidak pernah mempersoalkan mengenai mata saya. Di IPG juga, saya membina keyakinan diri dan menjaga penampilan diri.
"Selain itu saya selalu 'tanam' dalam diri, 'kalau orang lain boleh buat, kenapa aku tak boleh' selain itu saya juga tidak mahu status istimewa ini penghalang untuk menjadi seperti orang lain dan ejekan orang juga saya sentiasa abaikan sejak di bangku sekolah lagi," katanya.
Katanya, dia yang kini sedang menjalani latihan praktikal di sebuah sekolah rendah mengakui mata kirinya turut mendapat perhatian anak muridnya, namun memahami selepas diterangkan, malah mengatakan guru mereka seorang yang istimewa.
"Saya juga suka berinteraksi dengan rakan di TikTok dan tak sangka penerimaan mereka sangat baik. Saya terharu untuk sokongan dan semangat yang diberikan," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... i-azimat-kekuatanku |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|