|
SEKUMPULAN individu yang dipercayai menceroboh Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), Puchong yang tular di X. FOTO tular
Kuala Lumpur: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) sudah melakukan tinjauan dan siasatan terhadap dakwaan berhubung pencerobohan Hutan Simpan Ayer Hitam (HSAH), Puchong dipercayai dijadikan lokasi aktiviti rekreasi oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti tular di aplikasi X.
Pengarahnya, Azhar Ahmad berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak atau individu berhubung perkara berkenaan.
Menurutnya, pegawai JPNS juga tidak menahan mana-mana penceroboh seperti didakwa.
"(Kita) mohon untuk pihak jabatan membuat siasatan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Dalam hantaran di aplikasi X, individu terbabit mendakwa 'blue lagoon' (di hutan berkenaan) sudah tidak selamat dan biarpun sudah ada papan tanda larangan masuk diletakkan namun masih ada yang menceroboh kawasan berkenaan.
Tulisnya, individu yang menceroboh kawasan hutan terbabit boleh dikenakan denda RM10,000 dan meminta (pihak yang menceroboh) mengasihani mereka yang membuat kajian sekitar kawasan berkenaan.
Seorang lagi individu memaklumkan Hutan Simpan Ayer Hitam (termasuk Sultan Idris Shah Forestry Education Center (SISFEC) dan Bukit Wawasan) adalah hutan untuk pendidikan dan kajian, bukan hutan untuk rekreasi.
"Sebab itu kalau 'kantoi' dengan ranger boleh kena kompaun atau denda. Tetapi sebab kawasan HSAH ini besar, susah nak kawal," tulisannya dalam hantaran di aplikasi X.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ayer-hitam-dicerobo |
|