|
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Kuala Lumpur: Rata-rata tukang jahit dan pengusaha kedai jahit sudah mula sibuk menyiapkan tempahan baju sempena Hari Raya Aidilfitri, April depan, walaupun jumlah tempahan dikatakan tidak sebanyak sebelum ini.
Pengarah Urusan Maroz Tailoring Sdn Bhd Datuk Maideen Kadir Shah berkata, sehingga hari ini tempahan yang diterima kurang berbanding tahun lalu.
"Kami sudah mula menerima tempahan baju Melayu seawal Januari lalu.
"Namun, sehingga hari ini kami hanya menerima tidak sampai 50 tempahan baju raya," katanya.
Menurutnya, pelanggan kebanyakannya berminat membeli baju Melayu pesak dan juga cekak musang.
Tukang jahit Che Siah Musa, 56, berkata, tempahan baju raya yang diterima berkurangan tidak seperti tahun lalu.
"Kebanyakan masyarakat sekarang sudah mula membeli baju raya secara dalam talian menerusi platform e-dagang kerana mereka menawarkan banyak variasi reka bentuk yang lebih menarik.
"Pelanggan juga perlu membeli kain sendiri, kemudian baru hantar kepada saya untuk dijahit. Kos itu lebih kurang sama dengan membeli secara dalam talian," katanya.
Menurutnya, warna yang menjadi pilihan kebanyakan pelanggannya adalah biru dan biru tua.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... rbanding-tahun-lalu |
|