View: 8707|Reply: 0
|
[Negeri Sembilan]
Keluarga mangsa pukul beramai-ramai tuntut keadilan
[Copy link]
|
|
Syazwan Samad menenangkan ibunya, Khalidah Ahmad (dua dari kiri) yang tidak dapat menahan kesedihan selepas anaknya Shahril Samad dipukul hingga mati selepas terbabit kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor pada Selasa ketika kunjungan ADUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin - Foto NSTP/AZRUL EDHAM
NILAI: Keluarga lelaki yang diikat dan dipukul hingga mati selepas terbabit dalam kemalangan dekat Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor, Selasa lalu menuntut keadilan buat mangsa.
Bagi keluarga mangsa, walau apa yang berlaku, Shahril Samad, 41, tidak wajar diperlakukan begitu oleh mereka yang bertindak mengikut emosi.
Bapa Allaryarham, Samad Bakar, 70, berkata beliau tidak sanggup melihat video mengenai kejadian itu yang tular.
Beliau sekeluarga hanya berharap mereka yang terbabit dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal.
Warga emas itu berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi anak ketiga kira-kira jam 1.30 pagi pada hari kejadian.
"Ketika itu anak saya hanya beritahu arwah dipukul. Tiada pula dia maklum yang dia (Shahril) sudah meninggal dunia.
"Saya mula bersiap ke lokasi, namun anak beritahu tidak perlu kerana arwah sudah dibawa ke Hospital Serdang," katanya ketika ditemui sejurus menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin di rumahnya di Taman Ulu Beranang, di sini, hari ini.
Menurutnya, dia tidak mengetahui bagaimana kejadian sebenar berlaku namun beranggapan arwah tidak sepatutnya diperlakukan sedemikian.
"Arwah anak kedua dari tujuh beradik dan seorang yang baik malah tidak pernah melawan apabila dimarahi. Dia masih bujang dan yang membantu saya serta isteri di kedai makan kami.
"Sebelum kejadian berlaku arwah tidak menunjukkan tanda-tanda pelik yang dia akan tinggalkan kami, namun dua hari lepas dia secara tiba-tiba pulang dan tidur di rumah sedangkan selama ini dia tidur di kedai," katanya.
Sementara itu adik Allahyarham, Syazwan, 27 berkata, keluarga menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan undang-undang setimpal terhadap individu terbabit.
"Mereka tidak sepatutnya dilepaskan begitu saja kerana telah menyebabkan kematian. Saya sendiri ada dapat rakaman keseluruhan kejadian daripada orang awam yang berada di lokasi dan maklumkan bersedia jadi saksi.
"Oleh sebab itu kami harap ada keadilan kepada kematiannya," katanya.
Sementara itu, Mohd Asna turut menganggap tindakan mengikat dan memukul mangsa adalah keterlaluan dan berharap tindakan sepatutnya dapat diambil terhadap pelaku.
"Jika marah atas insiden berlaku, tidak sepatutnya dia dihukum sebegitu sehingga menyebabkan kematiannya. Ramai terperanjat seolah-olah tiada perikemanusian.
Tambahnya, orang ramai tidak sewajarnya mengambil tugas polis menghukum mangsa dan beliau akan memastikan keluarga arwah mendapat pembelaan atas apa yang berlaku.
"Keluarga arwah sudah tentu terkesan dengan kejadian. Mereka yang ditahan juga pasti akan menyusahkan keluarga kerana tindakan beremosi mereka. Saya harap pelaku dapat dihadapkan ke mahkamah di bawah akta sepatutnya," katanya.
Akhbar ini sebelum ini melaporkan seorang lelaki bukan hanya ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam selepas kemalangan, bahkan tangannya diikat dan dia dipukul hingga maut.
Kejadian tragis itu berlaku semalam, selepas lelaki berusia 41 tahun terbabit yang memandu Proton Saga kelabu terbabit kemalangan dengan penghantar makanan.
https://www.bharian.com.my/berit ... mai-tuntut-keadilan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|