|
Husam Musa (kiri) menyapu cat penebat panas dihasilkan daripada campuran sekam padi pada Rumah Mesra Rakyat (RMR) milik Ahmad Faumaz Abdul Rashid di Kampung Perol, Peringat, Kota Bharu semalam. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
KOTA BHARU: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memperkenalkan cat penebat panas menggunakan sekam padi dalam usaha memantulkan haba daripada cahaya matahari pada Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah seliaan agensi itu.
Penggunaan cat penebat itu dapat mengurangkan haba dalam rumah sekali gus dapat menjimatkan bil elektrik berikutan kurang penggunaan penyaman udara dan kipas.
Pengerusi SPNB, Datuk Husam Musa berkata cat penebat itu adalah hasil kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) menggunakan teknologi Sepanyol.
Bahan yang digunakan dalam cat adalah campuran serbuk penebat silika bersaiz 100 hingga 150 nanometer yang diproses daripada sekam padi yang terbuang.
"Cat ini mampu mengurangkan haba antara 0.1 hingga 9.9 darjah Celsius bagi kediaman yang dicat menggunakan cat sekam padi ini.
"Sebagai contoh, kediaman biasa suhu pada jam 10.00 pagi mencapai 47.5 darjah Celsius tetapi apabila dicat menggunakan cat insulasi panas, suhu menurun kepada 39.8 darjah Celsius iaitu penurunan suhu sebanyak 7.7 darjah Celsius.
"Pada waktu petang pula, suhu standard 48.6 darjah Celsius boleh turun kepada 38.6 darjah Celsius iaitu perbezaan 9.9 darjah Celsius yang mana bagi saya menguntungkan penduduk dengan mengurangkan kos penggunaan kipas dan penghawa dingin sekali gus mengurangkan kos bil elektrik," katanya ditemui dalam lawatan ke RMR di Kampung Perol, Peringat, semalam.
Hadir sama, Pengarah SPNB Kelantan, Mejar (B) Ismail Hassan dan Pengurus Maju Saintifik Sdn Bhd, Rahimi L Muhamud.
Katanya, percubaan cat itu sudah dimulakan di satu unit RMR di Pasir Mas sejak tahun 2022.
"Melalui rumah contoh itu, kita dapati keadaan rumah lebih sejuk dan cat mampu tahan lebih dua tahun," katanya.
Beliau berkata, teknologi hijau mampu membantu pemilik RMR mengurangkan pemanasan rumah selain memaksimumkan penggunaan sekam padi dalam industri.
Dalam perkembangan berkaitan, Husam memaklumkan, SPNB turut memperkenalkan program pemilikan rumah RMR 2.0 yang membawa konsep yang sama dengan RMR namun dibayar secara terus oleh pemohon.
Katanya, ini bagi mempercepat pemilik rumah di mana SPNB akan bertindak menyediakan rumah kurang dalam tempoh tiga bulan.
"Bagi RMR1.0, penduduk kena mohon, bagi geran dan bayar ansuran setiap bulan, tapi untuk RMR 2.0, jika pemohon ada duit RM50,000 mereka bayar terus kepada SPNB, dan kita akan siapkan rumah mereka," katanya.
Hingga kini, SPNB sudah menyiapkan 70,000 RMR dengan Kelantan antara negeri tertinggi membuat permohonan.
https://www.bharian.com.my/berit ... -rumah-mesra-rakyat |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|