TEMERLOH - Nasib wali hakim di Pahang turut mendapat perhatian kerajaan negeri menerusi bantuan 'one off' RM500 seorang buat julung kalinya.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, seramai 290 wali hakim mendapat bantuan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM145,000.
Menurutnya, Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang telah bersetuju dengan cadangan pemberian bantuan tersebut.
"Peranan wali hakim sangat penting dan perlu berikan imbuhan terhadap mereka yang bertugas sebagai sukarelawan agama kerana berbakti kepada orang ramai, bertugas bagi pihak kerajaan.
"Kebetulan pula pada bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri, jadi harapan kerajaan negeri kepada penerima ini untuk terus bertugas, berbakti dan memperkasakan agama Islam di Pahang," katanya.
Syed Ibrahim (putih) menyerahkan bantuan kepada penerima terlibat.
Beliau ditemui sempena Majlis Penyampaian Bantuan 'One Off' Tahunan Perjawatan Tahunan Perjawatan Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Pahang di Dewan Dato Zaharuddin Abu Kasim di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Dr Zulkifli Ali.
Ujar beliau, pemberian bantuan itu juga adalah sebagai tanda keprihatinan dan kepekaan kerajaan negeri di dalam menjaga kebajikan perjawatan itu serta meringankan bebanan peningkatan kos sara hidup masa kini.
Abdul Rahim
Sementara itu, bagi seorang wali hakim, Abdul Rahim Yusof, 61 dari Mukim Kuantan Barat bersyukur dengan bantuan itu yang tepat pada masanya menjelang Aidilfitri.
"Syukur selepas tiga tahun bertugas, kami juga mendapat perhatian dan bantuan daripada kerajaan negeri kali ini," tambahnya.