|
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Kuala Lumpur: Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) meluluskan 218 bas tambahan setakat 29 Mac lalu melalui permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) Perayaan bagi menampung permintaan tiket yang tinggi untuk balik kampung sempena Aidilfitri tahun ini.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, jumlah bas tambahan dijangka akan meningkat sehingga permohonan LPS ditutup pada 4 petang hari ini.
"Tahun lalu, 256 bas tambahan diluluskan oleh Apad. Selain itu, 220,000 daripada kira-kira 330,000 tiket bas ekspres di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk perjalanan sempena Aidilfitri terjual dengan kesemua tiket ke Pantai Timur sudah habis.
"Ia menjadikan hanya kira-kira 100,000 tiket bas ekspres yang tinggal, iaitu bagi perjalanan ke utara dan selatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan meninjau sempena persiapan Aidilfitri 2024 di sini, hari ini.
Loke berkata, keselamatan penumpang menjadi keutamaan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Apad memastikan bas tambahan yang diluluskan disaring dahulu bagi memastikan bas digunakan mematuhi kriteria permohonan termasuk melepasi kelulusan pemeriksaan keselamatan kenderaan dan memiliki GPS.
"Pemandu bas diwajib untuk melakukan ujian saringan bagi memastikan mereka tidak berada di bawah pengaruh dadah selain dipastikan tidak mengambil perjalanan lebih daripada sepatutnya, bagi memastikan mereka mendapat rehat mencukupi.
"Operasi bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan kerap dilaksanakan selain pemantauan mengejut lebih kerap di terminal bas seluruh negara bagi menjamin ketersediaan pemandu dan keadaan fizikal bas supaya selamat digunakan," katanya.
Katanya, terminal bas dijangka menghadapi lonjakan jumlah penumpang terutamanya hujung minggu ini dengan TBS dianggarkan mengendalikan 30,000 penumpang sehari, membabitkan 1,000 perjalanan bas ekspres dalam tempoh 24 jam.
"Kira-kira 40 bas akan berlepas dalam tempoh 1 jam, maksudnya hampir setiap satu setengah minit akan ada satu bas berlepas dari TBS membabitkan bas mempunyai purata 30 hingga 40 penumpang. Jadi persiapan rapi perlu dibuat terminal bas.
"Sejak penubuhan TBS pada 14 tahun lalu, terminal bas berkenaan telah mengendalikan kira-kira 100 juta penumpang dengan penjualan tiket mencecah RM1 bilion, katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... -sempena-aidilfitri |
|