|
Kuih jongkong. - Foto ihsan FB Tudung Saji
PARIT: Bagi Rosnani Mohd Yunus, 62, kuih tradisi Perak, jongkong cukup dekat dihatinya walaupun juadah itu semakin sukar didapati kini.
Selain ingin terus mengekalkan tradisi, penyediaan kuih jongkong menjadi terapi baginya mengubati kerinduan terhadap arwah suami Khairuddin Shariff, setiap kali menjelang Ramadan.
Rosnani yang mesra disapa Nani berkata ini kerana arwah suaminya banyak membantu dalam menyediakan juadah berkenaan yang satu tika dulu dijadikan sebagai pendapatan sampingan buatnya.
"Kalau dulu masa arwah ada, dia akan bantu saya setiap hari daripada mula penyediaan bahan memasak sehinggalah siap untuk dijual pada orang kampung.
"Sekarang ini, saya dah tak menjual cuma buat kuih ini untuk makan anak-beranak ketika bulan puasa. Dalam masa yang sama, sedikit sebanyak terubat juga kerinduan terhadap suami," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Seri Kaya, Bota Kiri di sini.
Mengakui juadah berkenaan kian dilupakan, Rosnani berkata dia mula mempelajari proses pembuatan kuih tradisional itu ketika berusia 18 tahun melalui ibunya.
"Ibu saya pada waktu itu seorang pembuat dan penjual kuih. Macam-macam jenis kuih dia buat dan saya akan bantu untuk jual kepada jiran-jiran.
"Jadi, apabila datang Ramadan, kuih jongkong ini antara yang dijual oleh ibu. Pada asalnya, nak belajar buat kuih jongkong ini untuk mudahkan kerja ibu siapkan kuih yang lain. Namun, tak sangka lama-kelamaan timbul minat untuk buat sampai sekarang," katanya.
Ditanya tentang proses penyediaan juadah itu, ibu kepada lapan cahaya mata itu berkata bahan-bahan yang digunakan ialah tepung beras, air, gula, garam, santan, pewarna, daun pisang abu serta daun pandan.
Tambahnya, bahan seperti tepung beras, air serta garam perlu diadunkan dan dimasak secukupnya dengan api yang perlahan.
"Proses memasak itu paling penting, kita kena sentiasa kacau adunan berkenaan bagi mengelak ia hangit dan menjejaskan rasa. Selepas itu, adunan dicampurkan dengan pewarna serta daun pandan untuk menaikkan warna dan bau.
"Apabila siap, adunan itu dibiarkan sejuk dalam masa 10 hingga 15 minit, kemudiannya dicampur dengan gula dan santan. Daun pisang pula digunakan untuk membungkus adunan berkenaan sebelum dikukus," katanya.
Rosnani berkata proses mengukus kuih itu mengambil masa sekurang-kurangnya 10 minit sebelum ia boleh dihidangkan untuk juadah berbuka.
"Kuih jongkong ini teksturnya agak lembik dan manis. Rasanya pula seakan-akan kuih tepung pelita. Di sesetengah tempat, kuih ini disajikan kepada tetamu selepas ia disejukkan dalam peti ais," katanya.
Mengulas kesukaran mendapatkan juadah berkenaan termasuk pada Ramadan, dia berkata ia berkemungkinan kurangnya permintaan daripada pelanggan selain resepi itu tidak diperturunkan daripada satu generasi ke generasi lain.
"Banyak yang buat kuih ini datangnya daripada orang yang dah berumur dan ada ramai yang telah meninggal dunia. Jadi, ilmu tentang resipi kuih ini tidak sempat diturunkan sama ada kepada anak ataupun keluarga terdekat.
"Selain itu, generasi sekarang pun dah tak kenal kuih tradisional ini dan mereka lebih suka makanan bergoreng atau segera. Mungkin ini menjadi sebab kita susah nak nampak kuih ini dijual pada pelanggan," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... yang-kian-dilupakan |
|