View: 2893|Reply: 0
|
[Johor]
Johor nafi pembalakan, gondol hutan punca banjir teruk Kota Tinggi
[Copy link]
|
|
Anggota polis dan Bomba membantu memindahkan beberapa mangsa banjir di Kota Tinggi, Johor semalam. Lebih 300 terpaksa dipindahkan akibat banjir. - Foto Polis Daerah Kota Tinggi
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menafikan aktiviti pembalakan atau penggondolan hutan di kawasan Air Terjun Kota Tinggi menjadi punca banjir kilat teruk sehingga 300 penduduk terpaksa dipindahkan semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, berkata ia berikutan kerajaan Johor sudah membekukan lesen pembalakan di negeri ini sejak 2017 lagi.
Sebaliknya beliau berkata, imej satelit tular yang didakwa gambar kawasan Hutan Simpan Air Terjun Kota Tinggi yang gondol atau ditarah sekali gus menjadi penyebab banjir, juga adalah tidak tepat.
"Kawasan lapang dalam imej satelit yang tular itu berada di luar kawasan Hutan Simpan Air Terjun Kota Tinggi.
"Ia membabitkan tanah lombong yang berada di bawah pentadbiran Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi.
"Oleh itu dakwaan tular menyatakan pembalakan atau penggondolan Hutan Simpan Air Terjun Kota Tinggi adalah tidak tepat sama sekali.
"Seperti yang dimaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, daerah Kota Tinggi mengalami hujan lebat berterusan sejak jam 8 pagi hingga 4 petang semalam, iaitu lebih lapan jam menyebabkan banjir kilat melanda kawasan Batu 4 Kota Tinggi," katanya ketika dihubungi.
Semalam, sebuah portal komuniti mendakwa banjir kilat yang melanda kawasan Batu 4 disebabkan air melimpah dari kawasan Air Terjun Kota Tinggi.
Beberapa pengguna media sosial juga dilihat menyokong dakwaan itu dengan menyatakan penggondolan di kawasan air terjun berkenaan mendatangkan musibah kepada penduduk.
Malah ada yang berkongsi paparan imej satelit yang didakwa berlaku penggondolan di kawasan Hutan Simpan Air Terjun Kota Tinggi dan meminta pihak berkuasa bertindak sebelum bencana lebih buruk berlaku.
Banjir kilat yang berlaku di kawasan Batu 4 menyebabkan lebih 300 penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)berikutan kediaman ditenggelami bah selain laluan yang terputus.
Dalam pada itu, Tian Soon meminta penduduk membuat laporan jika mempunyai maklumat berlaku aktiviti mencurigakan di kawasan Hutan Simpan Air Terjun Kota Tinggi.
Penutupan Air Terjun Kota Tinggi sejak 2019 juga menjadi punca salah faham ramai kononnya berlaku aktiviti pembalakan di situ.
"Apatah lagi tular imej satelit yang mendakwa kawasan Air Terjun Kota Tinggi sudah gondol. Ia tidak benar.
"Air Terjun Kota Tinggi ditutup sementara waktu sejak 2019 selepas bencana banjir melanda atas sebab-sebab keselamatan awam.
"Kini Kerajaan Johor masih meneliti pihak yang berminat untuk mengambil alih operasi Air Terjun Kota Tinggi sebelum ia dapat dibuka semula kepada awam," katanya.
https://www.bharian.com.my/berit ... r-teruk-kota-tinggi |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|