|
PERTAHANAN Terengganu FC, Argzim Redzovic (kanan) masih belum menerima status pemain naturalisasi. -FOTO Ghazali Kori
Kuala Terengganu: Berapa lama lagi harus kami tunggu?
Ini persoalan yang bermain di fikiran peminat setia skuad Terengganu FC (TFC) selepas sehingga kini belum lagi menerima berita gembira mengenai status naturalisasi pemain import, Argzim Redzovic.
Terdahulu dalam laman sosial hangat diperkatakan, pemain kelahiran Montenegro itu yang berkahwin dengan gadis kelahiran Cameron Highlands, Pahang bakal menjadi pemain naturalisasi dalam masa terdekat.
Namun sehingga kini terutama selepas Liga Malaysia (Liga M) membuka tirainya pada 10 Mei lalu, pemain pertahanan tengah skuad Penyu itu masih lagi berstatus import.
Ketika diajukan persoalan itu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Mohd Sabri Abas, beliau juga tiada jawapan sambil menegaskan masih menunggu jawapan daripada pihak berkuasa.
"Sukar bagi pihak kami untuk memaklumkan bila pemain itu (Redzovic) bakal mendapat status sebagai pemain naturalisasi.
"Hal ini kerana sehingga kini kami belum mendapat apa-apa perkembangan dan perkhabaran serta hitam putih sama ada permohonan dan rayuan kita berkaitan proses naturalisasi itu diluluskan ataupun sebaliknya.
"Bagaimanapun kita meletakkan harapan yang tinggi agar pemain yang lebih enam tahun beraksi dalam Liga M itu mendapat status pemain naturalisasi.
"Pada masa sama kehadiran pemain itu sebagai pemain tempatan nanti juga mampu memperkuatkan benteng pertahanan terutama TFC bakal beraksi dalam kancah Piala Shopee pada Ogos ini," katanya ketika ditemui.
Berdasarkan rekod, pemain beragama Islam itu mula beraksi dalam saingan Liga M pada 2018 ketika menyarung jersi PDRM FC sebelum berhijrah ke Terengganu pada 2020 sehingga kini.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... rus-kami-tunggu-tfc |
|