KUALA TERENGGANU - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Kuala Terengganu mengumpul hampir RM70,000 bagi memastikan kelancaran proses pembelajaran seramai 85 calon yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah itu pada tahun lalu.
Ahli Jawatankuasa PIBG, Norazlina Ahmad Bakhtiar berkata, kutipan wang itu dilakukan sejak sejak Januari 2023 sehingga Mac lalu.
Menurutnya, wang tersebut digunakan untuk program, sumbangan, penyediaan makanan pelajar ketika kelas tambahan, program kecemerlangan serta jamuan yang diadakan bagi meraikan kejayaan calon SPM 2023 pada Isnin.
"Kita menerima tajaan dan sumbangan sepenuhnya daripada ibu bapa di mana kutipan ini dibuat setiap minggu dan seikhlas hati.
"Tiada paksaan bagi ibu bapa yang tidak mampu untuk membayar malah untuk keluarga asnaf pula kita kecualikan daripada kutipan ini dan mereka tidak perlu bayar," katanya ketika ditemui pada majlis meraikan kejayaan pelajar di Masjid Al Hidayah Kampung Banggol Mempelam di sini pada Isnin.
Norazlina memberitahu, sudah menjadi rutin sekolah itu mengumpul wang bagi memastikan aspek pendidikan anak-anak dititikberatkan.
"Kutipan wang begini sudah bermula sejak lima, enam tahun kebelakangan ini iaitu sekitar 2019.
"Ia akan diuruskan oleh ibu bapa setiap kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM pada setiap tahun.
"Selain itu, ibu bapa pelajar yang akan mengambil peperiksaan ini juga melakukan amalan rutin iaitu bacaan Yasin pada setiap hari melalui aplikasi Google Meet," ujarnya.
SM Imtiaz Kuala Terengganu mencipta sejarah apabila seramai 17 pelajar hafiz 30 juzuk al-Quran memperoleh 12A dalam SPM 2023 yang diumumkan pada Isnin.
Selain itu, seramai 11 pelajar mendapat 11A, 15 (10A) dan 17 lagi mendapat 9A daripada keseluruhan 85 calon yang menduduki peperiksaan di sekolah tersebut.