|
KUDUS (kiri) mempunyai potensi untuk mengisi kekosongan sekiranya Salah meninggalkan Anfield selepas ini. - AFP
LONDON – Liverpool dilaporkan sedang mempertimbangkan tawaran buat pemain sayap West Ham United, Mohamed Kudus selepas dilihat sebagai pengganti sesuai bagi bintang mereka, Mohamed Salah.
Menjelang jendela perpindahan musim panas ini, Liverpool bersedia untuk menerima bidaan dari Arab Saudi buat Salah yang bakal memasuki tahun terakhir kontraknya walaupun penyerang Mesir itu dijangka kekal di Anfield sekurang-kurangnya semusim lagi.
Buat masa ini, Kudus berada dalam radar Liverpool untuk menggantikan Salah selepas dia menikmati musim debut yang cemerlang di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama West Ham di mana dia beraksi di pelbagai posisi menyerang di bawah kendalian David Moyes.
Difahamkan, Liverpool serius untuk membuat bidaan buat Kudus meskipun klausa pelepasannya hanya akan aktif pada tahun berikutnya.
Liverpool boleh melakukan rundingan dengan West Ham dan menandatangani Kudus pada harga tetap berjumlah £85 juta (RM491.3 juta) pada tahun 2025, namun The Reds mungkin akan cuba untuk membida pada jumlah yang lebih rendah tahun ini.
Dalam pada itu, Kudus merupakan seorang penyerang kidal yang serba boleh selepas berjaya mencatat 14 gol dan enam bantuan jaringan dalam 45 penampilan serta dilihat selesa beraksi dalam formasi permainan 4-2-3-1.
Setakat ini, Kudus dikatakan mempunyai daya tarikan signifikan dan berpotensi untuk ‘disambar’ oleh kelab-kelab yang akan beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah jika Liverpool tidak mengambil peluang membelinya terlebih dahulu.
Bagaimanapun, Liverpool perlu berusaha meyakinkan pengurus baharu West Ham, Julen Lopetegui untuk melepaskan Kudus yang baru semusim dibeli daripada Ajax pada Ogos lalu. – AGENSI
https://www.kosmo.com.my/2024/06 ... nti-sempurna-salah/ |
|