|
DANIEL Ting akan menggalas tugas penting pada kempen kelayakan. FOTO BERNAMA
Kuala Lumpur: Tonggak kacukan Harimau Malaya, Daniel Ting bersedia memainkan peranan lebih besar apabila turun menentang Kyrgyzstan nanti termasuk beraksi di bahagian sayap bagi membantu jentera serangan.
Ting, 32, adalah pemain pertahanan serba boleh sama ada di pertahanan tengah mahupun kiri.
Begitupun, dia yang mempunyai darah campuran England-Malaysia lebih sinonim di posisi pertahanan kiri dan kini bersedia 'dinaikkan pangkat' beraksi di bahagian atas khususnya sayap kiri.
Katanya, di Sabah FC dia turut dikerah membantu bahagian hadapan ketika menyerang walaupun beraksi di posisi pertahanan.
"Kita perlu menggantikan pemain sayap. Jelas sekali, dua pemain utama di posisi itu tidak bersama di sini. Tetapi jika jurulatih mahu saya bermain di posisi itu sudah tentu saya akan bermain dan buat yang terbaik di posisi itu.
"Saya telah memainkan peranan yang lebih menyerang bersama pasukan Sabah. Tetapi kami juga mempunyai pemain lain termasuklah beberapa pemain muda yang datang.
"Jadi saya rasa kita ada banyak pilihan yang datang untuk menggantikan pemain yang tidak dapat datang disebabkan kecederaan," kata bekas pemain Kuala Lumpur City itu.
Kem negara kehilangan enam tonggak utama termasuk dua pemain sayap iaitu Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi yang mengalami kecederaan.
Tiga lagi penyerang turut disisihkan akibat masalah sama antaranya Darren Lok, Romel Morales dan Syafiq Ahmad serta penjaga gol, Syihan Hazmi.
Malaysia akan turun menyambung aksi Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov di Bishkek, Khamis ini sebelum kembali ke tanahair untuk aksi terakhir kumpulan bertemu Taiwan di Bukit Jalil lima hari kemudian
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... -sedia-tukar-posisi |
|