|
DE BRUYNE ledak gol pertama Belgium menentang Montenegro. -FOTO AFP
Brussels: Jurulatih Belgium, Domenico Tedesco berkata dia belajar beberapa pengajaran berharga daripada kemenangan 2-0 mereka ke atas Montenegro dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menjelang Euro 2024.
Kevin De Bruyne menjaringkan gol pembukaan di Brussels pada penampilan ke-100nya bersama Belgium dan Leandro Trossard menyempurnakan penalti masa kecederaan untuk melakarkan kemenangan yang tidak perlu diragui tetapi jauh daripada kemampuan mereka menjelang Kejohanan Eropah di Jerman.
"Banyak yang saya pelajari hari ini dan dengan semua perubahan yang saya lakukan, tetapi lebih sukar untuk mengekalkan struktur yang sama selepas rehat," kata Tedesco.
"Kami berdepan masa yang lebih sukar di babak awal permainan, tetapi selepas 75 minit keadaan menjadi lebih baik lagi," tambah jurulatih itu, yang pasukannya bermula dengan baik tetapi dihalang oleh prestasi cemerlang penjaga gol kelahiran England dari Montenegro, Matija Sarkic.
De Bruyne membuat penampilan pertamanya selama lebih setahun untuk Belgium selepas pulih daripada kecederaan hamstring menyaksikannya terlepas separuh musim di Manchester City.
"Saya gembira dapat kembali. Ia sudah lama," katanya.
"Seronok dapat beraksi buat kali ke-100 bersama Belgium. Ini adalah permulaan yang baik dan ia menyeronokkan dapat menjaringkan gol.
"Kami sepatutnya mendahului pada separuh masa pertama, tetapi selepas rehat, keadaan menjadi lebih sukar kerana pertukaran pemain.
"Ia penting untuk mendapatkan rentak dan mendapatkan beberapa formasi dalam permainan kami. Ia juga memerlukan sedikit penyesuaian bagi saya kerana saya belum banyak bermain dengan pasukan ini," tambahnya.
Tedesco akan mengadakan satu lagi perlawanan persediaan Sabtu ini sebelum pasukan berlepas ke Euro 2024.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... i-sentuhan-jaringan |
|