|
MIKA Junco (kiri) ditagih bertindak lebih efektif di barisan hadapan Negeri Sembilan. -FOTO Ihsan NSFC.
Seremban: Pengendali Negeri Sembilan FC (NSFC), Azzmi Ab Aziz mahu penyerang berasal dari Sepanyol, Mika Junco, dapat cepat menyesuaikan diri dalam pasukan untuk membolehkan dia dapat memainkan peranan lebih efektif di bahagian serangan.
Malah, pemain berusia 31 tahun itu juga dituntut mempamerkan aksi berbisa di bahagian hadapan dalam membantu skuad Hobin Jang Hobin memburu kemenangan pertama musim ini.
Dia yang diturunkan dalam kedua-dua perlawanan Liga Super sebelum ini iaitu menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC (SFC), dilihat berusaha memberikan persembahan terbaik, namun setakat ini Mika belum menemui sentuhan gol.
"Memang kita mengharapkan Mika dapat cepat menyesuaikan diri dalam pasukan dan liga kita. Dia sendiri perlu sedar akan harapan tinggi yang diletakkan padanya oleh pasukan dan penyokong.
"Sebagai pemain penyerang, Mika perlu menggalas harapan itu dengan baik dan berusaha tampil dengan persembahan terbaik bagi membantu pasukan mendapatkan kemenangan.
"Memang dalam latihan kita lihat dia ada mencuba, jadi kita berharap pada cabaran saingan Piala FA bertemu Selangor nanti, dia dapat mempamerkan persembahan yang lebih baik," kata Azzmi.
Mika atau nama sebenarnya, Miguel Angel Junco Martinez, pertama kali beraksi dalam Liga M, namun sebelum ini dia pernah beraksi di liga beberapa negara termasuk liga Finland iaitu bersama KTP FC.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... ampil-lebih-efektif |
|