|
KL destinasi antarabangsa kelima paling popular enam bulan pertama 2024
Julai 25, 2024 @ 6:19pm
Oleh Hazwan Faisal Mohamad
[email protected]
Menara Merdeka 118 bangunan kedua tertinggi di dunia -NSTP/ASYRAF HAMZAH.
KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur menduduki tempat kelima dalam senarai destinasi antarabangsa paling popular untuk enam bulan pertama 2024, demikian mengikut Agoda.
Menurut platform pelancongan digital itu, ibu negara Malaysia itu berada di belakang Tokyo, Bangkok, Osaka dan Seoul.
"Namun begitu, tarikan Malaysia bukan sahaja tertumpu kepada Kuala Lumpur. Bandar-bandar lain seperti Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu dan Melaka juga adalah antara tumpuan utama untuk pelancong antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menjelang bulan kemerdekaan, Agoda turut memperkenalkan 'puncak' terkenal di Malaysia, di mana setiap satunya menjadi lambang kegemilangan, warisan, keindahan alam semula jadi dan pemandangan yang menakjubkan.
Puncak pertama ialah Menara Merdeka 118, sebuah bangunan pencakar langit 118 tingkat dengan ketinggian 678.9 meter menjadikannya bangunan kedua tertinggi di dunia, hanya diatasi oleh Burj Khalifa di Dubai.
"Dinamakan sempena Kemerdekaan Malaysia, puncak Menara Merdeka 118 mencapai ketinggian 700.9 meter di atas paras laut mengukuhkan kedudukannya sebagai bangunan tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara.
"Terletak berhampiran dengan Stadium Merdeka, di mana pengisytiharan kemerdekaan dilaungkan menambahkan lagi kepentingan sejarah bangunan ini yang melambangkan kegemilangan dan juga aspirasi moden Malaysia.
"Pelancong boleh melawat dek pemerhatian untuk menyaksikan latar langit bandar metropolitan yang indah ini apabila ia dibuka kelak pada hujung tahun ini," kata Agoda.
Di Johor, Gunung Ledang yang juga dikenali sebagai Gunung Ophir tersergam indah di Taman Negara Gunung Ledang.
Dengan ketinggian 1,276 meter, ia puncak tertinggi di negeri itu yang kaya dengan khazanah alam semula jadi serta mengisahkan kisah dongeng yang mempesona.
Gunung ini terkenal dengan Legenda Gunung Ledang mengisahkan seorang puteri mistik yang menetapkan syarat-syarat mustahil bagi menerima pinangan Sultan Melaka.
Di utara Malaysia, Bukit Bendera terkenal dengan keindahan semula jadi dan juga warisan sejarahnya.
Ia adalah sebahagian daripada Rizab Biosfera Bukit Bendera yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan penyenaraian ketiga Malaysia di dalam Rangkaian Rizab Biosfera Dunia.
Dijadikan sebagai pusat peranginan sejak akhir abad ke-18, Bukit Bendera juga mempunyai laluan kereta api funikular yang menuju ke puncaknya.
Di Borneo, ketinggian Gunung Kinabalu yang mencapai 4,095 meter, menjadikannya puncak tertinggi di Malaysia dan puncak pulau ketiga tertinggi di dunia.Ia terletak di Taman Kinabalu, tapak Warisan Dunia UNESCO yang terkenal dengan biodiversiti.
Gunung Kinabalu menjadi habitat kepada pelbagai jenis flora dan fauna, termasuk bunga Rafflesia dan burung enggang yang jarang ditemui. Dengan adanya 5,000 hingga 6,000 spesies tumbuhan, 326 spesies burung, dan lebih 100 spesies mamalia, ia antara tapak biologi yang paling penting di dunia.
Menara Taming Sari mercu tanda ikonik di Melaka dengan berketinggian 110 meter dan menampilkan pemandangan panoramik 360 darjah di sekitar bandar bersejarah itu termasuk tapak Warisan Dunia UNESCO, Kubu A Famosa, Bukit St Paul dan Jalan Jonker yang meriah.
Dinamakan sempena keris legenda Taming Sari, senjata mitos milik pahlawan Melayu Hang Tuah, dek pemerhatian berputar menara ini boleh memuatkan sehingga 80 orang untuk menyaksikan pemandangan indah bandar raya Melaka dan kawasan sekitarnya.
https://www.bharian.com.my/bisne ... -enam-bulan-pertama |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|