Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media selepas Rumusan Pemukiman Program Utama Kementerian KKDW di Desaru Convention Centre, Desaru Coast, Kota Tinggi. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Kota Tinggi: Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kini dijenamakan semula sebagai Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi mengubah persepsi dan minda khalayak terhadap konsep rumah PPRS yang baharu dengan spesifikasi termasuk keluasan lebih besar.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata, kementerian juga mahu menukar persepsi penghuni rumah dan ahli keluarga mereka.
"Rumah PPRT dahulunya berkeluasan 600 kaki persegi, akan ditambah baik keluasannya kepada 680 kaki persegi apabila dijenamakan sebagai PPRS.
"Keluasan 600 kaki persegi itu kita telah ikut Dasar Perumahan Negara dan kita tambah baik keluasan kepada 680 kaki persegi dengan standard dan piawaian dasar berkenaan.
"Konsep 'rent to own' (sewa beli) yang diperkenalkan akan mengurangkan beban penghuni yang mana akhirnya akan menjadikan mereka sebagai pemilik mutlak rumah berkenaan.
"Saya harap program PPRS ini akan diikuti oleh kementerian-kementerian lain yang terrbabit dalam penyediaan rumah untuk rakyat terutama Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT), kerajaan negeri, jabatan perumahan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan rumusan di Pemukiman Program Utama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Pusat Konvensyen Desaru di sini, hari ini.
PPRT adalah satu daripada program pembasmian kemiskinan luar bandar kerajaan yang menyediakan bantuan bina baharu atau pembaikan rumah kepada golongan miskin dan miskin tegar untuk memiliki kediaman yang selamat dan selesa dan seterusnya memastikan kumpulan sasar ini dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.
Skop PPRT terbahagi kepada dua kategori, iaitu Bina Baru, kepada penerima yang tidak mempunyai rumah atau rumah yang didiami terlalu uzur, selain kategori Baik Pulih, membabitkan bantuan baik pulih komponen asas sesebuah rumah sahaja.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, PPRT negara perlu suntikan pembaharuan dan tidak hanya menuruti Dasar Perumahan Negara semata-mata.
"Penjenamaan baharu PPRS ini kita mesti lakukan perubahan lebih menyeluruh, bukan sahaja dalam menukar persepsi minda dan citarasa pemegang taruh yang terbabit, malah lebih penting pembelaan terhadap pembeli dan penghuni rumah-rumah kos rendah berkenaan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, KKDW telah memperuntukan RM460.4 juta untuk membina baru 3,000 unit PPRS dan membaik pulih 12,600 unit rumah berkenaan, bagi tahun ini.
Katanya, menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kementerian juga sedang merancang lebih banyak pembinaan PPRS.
"Untuk RMK12, lebih 10,000 unit telah dibina. RMK13 kita sedang rancang lebih banyak kerana kita tahu kos boleh dikurangkan terutama kos pembelian tanah, kos untuk infrastruktur jalan atau lorong masuk ke kawasan perumahan dapat dikongsi bersama kerajaan negeri, PBT dan syarikat-syarikat kerajaan," katanya.
Tamat.