CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 50141|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pengguna dinasihati kurangkan 10 peratus penggunaan air, elak krisis

[Copy link]
Post time 27-7-2024 12:20 PM | Show all posts |Read mode
Edited by sfhzuraz at 27-7-2024 12:22 PM

Pengguna dinasihati kurangkan 10 peratus penggunaan air, elak krisis

Oleh Zuhainy Zulkiffli - Julai 27, 2024 @ 11:48am [email protected]




Paras air Tasik Gubir menyusut dengan drastik, berhampiran di Empangan Muda, semalam. -Foto BERNAMA









GEORGE TOWN: Bimbang dengan bekalan sumber air mentah yang menyusut ekoran musim panas, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merayu pengguna air di negeri itu mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus sehingga musim hujan yang dijangka bermula September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata, dalam tempoh Januari hingga Jun lalu, purata penggunaan air di Pulau Pinang ialah sebanyak 887 juta liter sehari (JLH) dan dalam tempoh yang sama pada 2023, purata penggunaannya ialah 877 JLH.

Katanya, berdasarkan rekod itu, dalam erti kata lain, penggunaan air di Pulau Pinang sudah meningkat secara purata 10 JLH tahun ke tahun, merujuk kepada isipadu air yang boleh mengisi sebanyak 6,667 botol air minuman besar 1.5 liter setiap hari.

Katanya, hujan yang rendah sejak Januari lalu memberi kesan kepada operasi bekalan air di Pulau Pinang menerusi kapasiti efektif rendah Empangan Air Itam sebanyak 41.1 peratus dan Empangan Teluk Bahang (31.9 peratus), semalam.

"Pengeluaran air terawat yang lebih rendah di Loji Rawatan Air Terjun (LRA) juga disebabkan kekurangan air mentah dari kawasan tadahan air (KTA) Air Terjun Pulau Pinang.

"Manakala pengeluaran air terawat yang lebih rendah di Sungai Pinang (LRA) disebabkan

kekurangan air mentah dari KTA Titi Kerawang," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut Pathmanathan berkata, dalam masa yang sama, paras air Sungai Muda yang rendah (di bawah paras 2.0m) di muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang selama 16 hari berturut-turut sejak 11 Julai lalu.

Katanya, kapasiti efektif Empangan Muda yang dibina bagi melepaskan air ke Sungai Muda itu menjunam kepada 9.9 peratus kelmarin.

"Mujurlah kapasiti efektif Empangan Beris, Kedah berada pada 60.2 peratus dan Kedah sedang melepaskan air ke Sungai Muda.

"PBAPP juga melepaskan rizab Empangan Mengkuang Diperluas (EMD) setiap hari bagi menambah pengambilan air mentah dari Sungai Muda serta perlu mengabstrak air mentah yang mencukupi dan melepaskan air daripada EMD untuk mengekalkan operasi pengeluaran air optimum di LRA Sungai Dua iaitu LRA terpenting Pulau Pinang," katanya.

Menjelaskan situasi itu, Pathmanathan berkata, air terawat daripada LRA Sungai Dua dibekalkan kepada 465,000 pengguna air di Seberang Perai dan Daerah Barat Daya di Pulau Pinang, kesannya mengakibat berlakunya isu bekalan air yang 'sporadik' dan terputus-putus di beberapa kawasan kejiranan negeri ini.

"Seperti yang diumumkan semalam, PBAPP sedang mengaktif pelan pengurusan krisis bagi meminimumkan kesan isu taburan hujan rendah dan memastikan Pulau Pinang mempunyai air mencukupi sehingga musim hujan pada September tiba.

"Jika setiap pengguna air domestik Pulau Pinang dapat mengurangkan penggunaan air sebanyak 10 peratus, kita akan berada dalam kedudukan lebih baik bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga hujan tiba, September ini.

"Sehubungan itu, saya merayu kepada pengguna domestik Pulau Pinang supaya kurang menggunakan air di rumah segera bagi meminimumkan risiko krisis air di negeri ini," katanya.

Sehingga Disember 2023, terdapat 593,255 pengguna air domestik berdaftar di Pulau Pinang dan ia menyumbang sebanyak 57.4 peratus daripada jumlah keseluruhan air yang digunakan di negeri ini pada tahun 2023.

Secara purata, rakyat Pulau Pinang menggunakan lebih kurang 19.8 peratus lebih air di rumah pada tahun 2023 daripada purata kebangsaan; dan kira-kira 101.4 peratus lebih banyak air daripada penduduk Singapura.






Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-10-2024 01:44 PM GMT+8 , Processed in 0.044522 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list