View: 43024|Reply: 1
|
[Tempatan]
Selaras kursus pengajian di universiti elak bertindih
[Copy link]
|
|
NASIONAL
Selaras kursus pengajian di universiti elak bertindih
Ogos 19, 2024 @ 1:25pm
Oleh Ilah Hafiz Aziz
[email protected]
KUALA LUMPUR: Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mencadangkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini untuk menyelaras kursus pengajian supaya tiada lagi jurusan sama atau bertindih ditawarkan, sekali gus dapat menangani isu kekurangan pelajar dan bebanan kos.
Syor itu membabitkan program pengajian yang ada persamaan atau bertindih antara universiti yang boleh diselaraskan dengan membenarkan pelajar menyertai kelas tertentu yang mempunyai subjek atau kursus pengajian sama di IPT lain.
Justeru, MQA merancang membentangkan cadangan itu kepada semua IPT tempatan dalam masa terdekat dengan tumpuan diberi kepada program pengajian sains sosial yang bukan di bawah akreditasi badan profesional.
Sains sosial merujuk pengajian ilmu dipecahkan kepada pelbagai disiplin lebih kecil dan khusus, antaranya antropologi, sosiologi, sejarah, geografi, sains politik, psikologi, komunikasi dan pelbagai lagi.
Kursus sedemikian banyak ditawarkan di IPT, tidak seperti jurusan profesional seperti kejuruteraan di bawah akreditasi Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), Lembaga Arkitek Malaysia bagi jurusan arkitek dan Majlis Perubatan Malaysia (MAA) untuk pengajian perubatan.
Memperincikan cadangan kerjasama antara IPT itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata bagi tujuan berkenaan, pihaknya antara lain juga merancang memperkukuhkan lagi kaedah pemindahan kredit pengajian pelajar.
Kaedah itu, katanya, akan membolehkan pelajar IPT yang mengikuti kursus pengajian yang turut ditawarkan IPT lain, dibolehkan mengikuti kelas tertentu atau kursus terbabit di IPT kedua melalui satu bentuk kerjasama.
"MQA melihat langkah kerjasama ini penting kerana banyak program pengajian sama ada di IPT awam mahupun swasta di negara ini mempunyai persamaan antara satu lama lain," katanya kepada BH.
MQA diwujudkan pada 2007 hasil gabungan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) dan Bahagian Jaminan Kualiti Kementerian Pengajian Tinggi (BJKKPT). Ia badan tunggal menyelia dan menyelaras jaminan kualiti serta akreditasi pendidikan tinggi negara bagi sektor awam dan swasta.
Kelebihan kerjasama
Mohammad Shatar menjelaskan, MQA mendapati banyak IPT menawarkan program pengajian yang mempunyai persamaan yang kadang kala berbeza pada nama, manakala kursus atau bidang pengajian ditawarkan sama sahaja.
"Melalui kerjasama dicadangkan, pelajar dari sebuah IPT boleh menyertai kelas bagi subjek atau kursus pengajian yang sama di IPT lain dan MQA akan beri akreditasi.
"Contohnya, universiti A menawarkan 10 kursus pengajian, tetapi ada lima kursus sama ditawarkan di universiti B. Maka melalui kerjasama ini, universiti A boleh benarkan pelajar mereka ikuti kelas di universiti B secara pemindahan kredit sahaja," katanya.
Mengenai kelebihan kerjasama yang dicadangkan MQA, termasuk pengajian secara pemindahan kredit, Mohd Shatar berkata, ia akan memberi manfaat kepada langkah penjimatan yang kini diamalkan oleh semua IPT.
"Dengan peningkatan pelbagai kos dan kemampuan untuk institusi bertahan, memang langkah penjimatan menjadi tumpuan utama setiap IPT. Melalui penyelarasan program pengajian dan pemindahan kredit, IPT contohnya tak perlu ambil pensyarah baharu untuk kursus mereka.
"Sebaliknya, pelajar boleh menyertai kursus yang mempunyai subjek pengajian sama di IPT lain. Ia juga memanfaatkan IPT yang berdepan kekurangan pelajar sehingga menyebabkan program yang ada persamaan dengan IPT lain dijumudkan," katanya.
Beliau berkata, MQA sentiasa menasihatkan IPT supaya mengenal pasti bidang tujahan atau teras kepakaran masing-masing dan mengelak daripada menawarkan program pengajian hanya kerana IPT lain berbuat demikian.
"IPT harus sedar apa teras mereka supaya program ditawarkan tidak bertindih dengan IPT lain yang akhirnya mendatangkan persaingan yang tidak memberi keuntungan.
"Contoh, mahu buka kedai mi apabila melihat jualan mi di sebuah kedai laris. Apa yang kita tidak tahu, orang pertama yang jual mi itu sangat pakar membuat mi, tetapi kita mahu masuk bidang ini dengan hanya pengalaman semalaman," katanya.
Katanya, tiada masalah IPT menawarkan sebarang program pengajian, tetapi perlu memikirkan kelestarian program itu.
"Beberapa tahun lalu, ramai juga pertikai satu kursus peringkat diploma berkaitan haji dan umrah. Ada dakwaan tidak akan ada pasaran, tetapi hari ini graduan kursus ini ibarat 'pisang goreng panas' dan jadi buruan industri di rantau ini," katanya.
BH sebelum ini melaporkan beberapa program kejuruteraan di sesetengah IPT swasta (IPTS) dijumudkan, antara lain disebabkan kekurangan pelajar bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) di sekolah yang menyebabkan kemerosotan kemasukan pelajar untuk pengajian tinggi.
Pada 24 Jun lalu, Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera Malaysia (PKIBM), Amir Hamzah Md Isa mengakui, sejak beberapa tahun lalu, terdapat cabaran mendapatkan pelajar menyambung pengajian bidang kejuruteraan di IPTS.
Katanya, selain syarat kemasukan yang agak ketat berbanding program lain, kemerosotan kemasukan pelajar jurusan kejuruteraan juga disebabkan kurangnya minat pelajar sekolah terhadap aliran sains tulen.
https://www.bharian.com.my/berit ... siti-elak-bertindih |
|
|
|
|
|
|
|
NASIONAL
Mekanisme pelaksanaan pengajian bertindih perlu diteliti, bukan sekadar atas kertas
Ogos 19, 2024 @ 4:06pm
Oleh Ilah Hafiz Aziz
[email protected]
Pemindahan kredit atau cadangan mengikuti kelas di universiti lain boleh dilaksanakan dengan syarat mekanisme pelaksanaan diperhalusi terlebih dahulu agar kepentingan universiti atau pemegang taruh termasuk industri dan pelajar, terjaga. - Foto hiasan NSTP
KUALA LUMPUR: Pemindahan kredit atau cadangan mengikuti kelas di universiti lain boleh dilaksanakan dengan syarat mekanisme pelaksanaan diperhalusi terlebih dahulu agar kepentingan universiti atau pemegang taruh termasuk industri dan pelajar, terjaga.
Koordinator Kursus Penyiaran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Aeyneda Zairyn Abdul Jalil, berkata pengajian dan kursus di institusi pengajian tinggi perlu dijaga kualiti dan tidak boleh terburu-buru atau secara hentam kromo sahaja.
Katanya, perancangan juga bukan sekadar atas kertas sahaja tetapi perlu dipastikan ia memberi nilai yang terbaik terhadap pelajar dan industri, termasuklah berkaitan jangkaan peratus keberkesanan yang tinggi dalam pelaksanaan itu.
Aeyneda Zairyn
"Sebenarnya, kami sentiasa melaksanakan amalan semakan kurikulum secara berkala bagi memastikan kandungan kursus serta pelan pengajian relevan dengan situasi masa kini. Ia termasuklah memastikan kandungan kursus pengajian tidak bertindih dengan jurusan-jurusan lain di fakulti kami.
"Rujukan ini termasuklah kepada pihak berkepentingan seperti ahli panel industri, pakar akademik dalam dan luar negara serta pihak alumni dalam memastikan sesuatu keputusan berkenaan kandungan kursus yang dibuat itu adalah wajar dan berpandukan laras yang tepat.
"Namun apabila cadangan MQA ini wujud, hasrat itu boleh disambut baik tetapi dengan memberi penelitian terhadap pelan pelaksanaan mengelakkan pertindihan kursus," katanya kepada BH, hari ini.
Pengajian dan kursus di institusi pengajian tinggi perlu dijaga kualiti dan tidak boleh terburu-buru atau secara hentam kromo sahaja, kata Koordinator Kursus Penyiaran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Aeyneda Zairyn Abdul Jalil. - Foto hiasan NSTP
Hari ini, BH secara eksklusif melaporkan MQA mencadangkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara untuk menyelaraskan kursus pengajian supaya tiada lagi jurusan sama atau bertindih ditawarkan, sekali gus dapat menangani isu kekurangan pelajar dan bebanan kos.
Syor itu membabitkan program pengajian yang ada persamaan atau bertindih antara universiti yang boleh diselaraskan dengan membenarkan pelajar menyertai kelas tertentu yang mempunyai kursus atau subjek pengajian sama di IPT lain.
Ia akan menumpukan program pengajian sains sosial yang bukan di bawah akreditasi badan profesional.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik) / Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Dr Noor Mayudia Mohd Mothar berkata dalam situasi kekangan belanjawan hari ini, universiti awam pastinya tidak menolak cadangan berkenaan kerana ia dilihat sebagai salah satu langkah penjimatan yang baik, berbanding IPTS yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap yuran tinggi.
Noor Mayudia
Bagaimanapun, kata beliau, MQA kemungkinan tidak akan meletakkan ia sebagai kewajipan yang perlu dilaksanakan IPTS kerana polisi MQA sendiri ialah untuk memberi kebebasan kepada institusi untuk buat pilihan.
"Pada masa yang sama MQA juga menyokong fleksibiliti dalam kurikulum dengan menggalakkan setiap IPT supaya menjadi lebih kreatif dalam pembinaan kurikulum masing-masing," katanya.
Noor Mayudia berkata, walaupun ada fakulti dilihat mempunyai pengajian yang sama namun setiap program yang ditawarkan adalah berbeza kerana standard yang ditetapkan pengajian itu berdasarkan 'Body of Knowledge (BoK)' dengan mengikut bidang dan fokus yang berbeza.
"Sebelum sesuatu program diluluskan ia akan melalui beberapa peringkat, bermula dengan kelulusan sementara, akreditasi penuh, dan akhir sekali pematuhan. Sekiranya ada pertindihan maka proses pemindahan kredit itu boleh digunakan tetapi ia mestilah mempunyai persamaan sekurang-kurangnya 80 peratus," katanya.
Katanya, antara kebaikan dalam pemindahan kredit ini ialah pelajar universiti tidak akan belajar pengajian yang sama dua kali dengan 'waive' kursus-kursus yang sama sekali gus mereka ini boleh menamatkan pengajian lebih awal.
https://www.bharian.com.my/berit ... erlu-diteliti-bukan
|
|
|
|
|
|
|
| |
|