RASMI: Jonathan menyempurnakan upacara pelepasan konvoi selepas perasmian majlis itu.
RANAU: Sambutan Hari Kebangsaan 2024 daerah ini disemarakkan lagi dengan kehadiran berpuluh konvoi kenderaan dan motorsikal yang membawa Jalur Gemilang.
Hadir merasmikan majlis singkat sempena pelepasan Kembara Merdeka Konvoi Jalur Gemilang yang diadakan di Dewan Terbuka Kompleks Persekutuan Daerah Ranau ialah Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
“Kita berkumpul pada hari yang bersejarah ini bagi merayakan menyemarakkan lagi program Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 bagi daerah Ranau.
“Terima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan juga rakan strategik yang telah memilih Bangunan Persekutuan Daerah Ranau sebagai lokasi bagi perlaksanaan program itu kali ini.
“Saya mewakili seluruh masyarakat daerah ini merasa berbangga dengan penghormatan dan atas kehadiran semua rakan strategik yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkaitan kerajaan serta pihak swasta,” katanya.
Tahun ini katanya, merupakan tahun yang istimewa buat rakyat Sabah kerana adalah tahun pertama merayakan Hari Sabah selepas diwartakan pada 5 Jun lepas.
“Saya ingin kongsikan sedikit perkara di mana pada 31 Ogos, ada pihak yang menjadikannya ia sebagai satu isu.
“Ada yang bertanya mengapa kita harus raihkan kemerdekaan pada 31 Ogos kerana ia adalah Hari Kemerdekaan bagi tanah Semenanjung.
“Tapi sebenarnya pada tarikh yang sama pada tahun 1963, kita di Sabah meraikan Hari Kemerdekaan Sabah dan ia telah diraikan di Kota Belud, Kota Kinabalu dan Sandakan, justeru ia juga merupakan hari yang bersejarah bagi semua rakyat Sabah,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Jonathan berkata, bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini ‘Malaysia Madani, Jiwa Merdeka’, semangat patriotisme dan jati diri yang ditunjukkan oleh para pejuang kemerdekaan perlu terus diwarisi dalam aspek kehidupan sehingga kini.
“Dengan berpegang kepada tema sambutan kali ini, marilah bersama-sama bertekad untuk memperkukuhkan lagi semangat kemerdekaan dalam setiap rakyat Malaysia.
"Dalam kita membina negara yang bukan sahaja bebas dari segi fizikal tetapi juga bebas dari segi pemikiran, budaya dan ekonomi.
“Justeru, Kembara Merdeka Jalur Gemilang bukan sekadar menjadi acara tahunan tetapi juga menjadi symbol perpaduan, kebanggaan dan kesyukuran kita sebagai rakyat Malaysia.
“Biarlah program ini mengingatkan kita mengenai pengorbanan dan usaha para pahlawan yang telah berjuang demi kebebasan dan kemakmuran yang sedang kita kecapi hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Jonathan turut menggalakkan semua masarakat di Ranau untuk turut serta dalam mengibarkan Jalur Gemilang, bertepatan dengan seruan Satu Rumah Satu Jalur Gemilang.
|