Api marak memusnahkan dua rumah di Kampung Tabuan Cemerlang, hari ini. - Gambar JBPM
KUCHING: Dua rumah di Kampung Tabuan Cemerlang di sini musnah dalam kebakaran hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, rumah tersebut yang dijadikan rumah sewa dilaporkan terbakar sekitar jam 9 pagi.
Menurutnya, rumah berkenaan dihuni tujuh keluarga terdiri daripada 37 orang.
“Kebakaran melibatkan dua rumah yang telah terbakar hampir keseluruhan strukturnya.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran mengunakan sumber air dari lori tangki (bomba) dan pili bomba sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Api marak memusnahkan dua rumah tersebut di Kampung Tabuan Cemerlang, hari ini. - Gambar JBPM
Tambahnya, pasukan bomba turut bertindak menyelamatkan dua rumah berdekatan daripada terbakar.
Operasi memadam kebakaran dilakukan oleh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan dan Tabuan Jaya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.32 pagi.
Tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden tersebut.
“Kesemua 37 penghuni rumah dilaporkan selamat,” katanya.
Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik Kebakaran JBPM Sarawak.
Keadaan rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Tabuan Cemerlang, hari ini. - Gambar JBPM
|