Gambar hiasan
KUCHING: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap seorang pembantu penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah daripada sindiket penyeludupan minyak diesel yang beroperasi di Sibu.
Perintah reman selama enam hari hingga 2 September 2024 terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Mason Jaro Lenya Barayan setelah membenarkan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, suspek yang bekerja di sebuah agensi penguatkuasaan di sini ditahan di Pejabat SPRM Sarawak sekitar jam 3.25 petang Isnin ketika hadir bagi dirakamkan keterangan.
Selain itu menurut sumber, tangkapan dibuat susulan Ops Liter dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM di sebuah depot penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu pada Ahad lalu.
Difahamkan, suspek dipercayai menerima wang rasuah berkenaan daripada sindiket terbabit bagi melindungi kegiatan penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan supaya tidak mengambil tindakan undang-undang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.
|