Edited by maklukpenggoda at 29-8-2024 09:41 PM
Nama 635 pengarah syarikat dikemukakan kepada Jabatan Imigresen untuk dihalang keluar negara akibat tunggakan caruman KWSP pekerja.
KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan itu diambil di bawah Seksyen 39 Akta KWSP 1991.
"Caruman bulanan menunjukkan komitmen majikan terhadap kesejahteraan pekerja dan bagi memenuhi kewajipan undang-undang. KWSP akan terus menguatkuasakan dan memantau majikan untuk memastikan semua jumlah tertunggak dibayar sepenuhnya," katanya.
Setakat Jun 2024, sejumlah 13,820 majikan atau 2.02 peratus daripada keseluruhan 685,399 majikan yang berdaftar dengan KWSP gagal membayar caruman pekerja mereka.
Ketua Pegawai Operasi KWSP Sazaliza Zainuddin berkata kegagalan membayar caruman KWSP tepat pada masanya merupakan satu kesalahan serius.
"KWSP tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap majikan yang ingkar termasuk tindakan sivil dan jenayah untuk melindungi hak pekerja," katanya.
Sehubungan itu, KWSP menasihati ahli menyemak akaun KWSP mereka secara berkala menerusi aplikasi KWSP i-Akaun untuk memastikan caruman daripada majikan mereka dibayar dengan jumlah betul dan tepat pada masanya.
Sekiranya terdapat percanggahan, ahli harus menghubungi majikan mereka dengan segera atau melaporkan kepada KWSP melalui laman web KWSP di www.kwsp.gov.myatau menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di talian 03-8922 6000.
Harian Metro
|