SELAMAT: Lelaki yang dilaporkan sesat ketika mendaki ditemukan selamat.
SANDAKAN: Seorang lelaki yang tersesat ketika melakukan aktiviti mendaki di Sandakan Rain Forest Tshun Ngen, Batu 5, di sini, semalam, ditemukan selamat.
Mangsa berusia 25 tahun ditemukan selamat oleh pasukan bomba yang melakukan pencarian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.35 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan enam anggota termasuk pegawai dengan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, operasi turut dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perhutanan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pasukan operasi melakukan pencarian dan menemukan mangsa dalam keadaan selamat pada jam 7.30 malam.
“Mangsa ditemukan pada jarak kira-kira dua kilometer dari mula-mula mangsa melakukan aktiviti mendaki," katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada jam 8.21 malam,” katanya.
|