Edited by maklukpenggoda at 31-8-2024 09:51 PM
GUA MUSANG: Kemeriahan acara sukaneka sempena sambutan Hari Kebangsaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kawasan itu bertukar cemas apabila enam penduduknya diserang histeria.
Kejadian kira-kira jam 2 petang itu bermula apabila seorang peserta acara sukan secara tiba-tiba tidak sedarkan diri, membuatkan keadaan menjadi cemas.
Seorang mangsa histeria yang mahu dikenali sebagai 'Kak Mie', berkata dia adalah mangsa kedua kejadian terbabit.
Katanya, apabila dimaklumkan seorang rakan tidak sedarkan diri, dia pergi melihat keadaan rakannya dan selepas itu tiba-tiba rasa meremang sebelum tidak sedarkan diri.
"Situasi terakhir yang saya ingat, saya bersama seorang rakan pergi melihat keadaan mangsa pertama. Apabila rasa meremang dan tidak sedap hati, saya menarik rakan supaya menjauh.
"Selepas itu saya pun tidak sedarkan diri dan mengikut yang diceritakan oleh suami, saya meracau dan seterusnya berjangkit ke mangsa lain.
"Kesemua enam mangsa yang terbabit hingga ada yang terpaksa dibawa untuk rawatan berjumpa ustaz kerana tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Kak Mie berkata, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku di kawasan terbabit sejak lebih empat tahun tinggal di situ.
Katanya, acara sukan sempena sambutan Hari Kemerdekaan sudah menjadi acara tahunan penduduk bagi mengeratkan sillaturrahim di antara mereka.
"Kejadian ini sangat mengejutkan penduduk di sini. Ini bukan pertama kami menganjurkan aktiviti sukaneka antara penduduk.
"Alhamdulillah... Sekarang saya sudah kembali pulih dan ia akan menjadi satu pengalaman yang tidak akan dilupakan oleh kami semua penduduk di sini," katanya.
BH
|