|
Ruang solat surau kawasan Rehat dan Rawat Seremban (Arah Selatan) bercirikan estetik dan memelihara elemen alam sekitar. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
SEREMBAN: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menampilkan kelainan apabila mengetengahkan kemudahan surau lestari berkonsepkan alam semula jadi di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan).
Diinspirasikan daripada enam tonggak MADANI, Surau PLUS Madani itu dilihat bakal menjadi penanda aras baharu bagi inovasi dan kecemerlangan, selain mengekalkan keseimbangan ekologi.
Kemudahan yang dibuka secara rasmi kepada orang ramai mulai hari ini, itu turut menampilkan reka bentuk moden, lestari, mesra pengguna dan ciri reka bentuk khas bagi orang kurang upaya.
PLUS dalam hebahan media mengenai kemudahan itu, berhasrat menjadikan Surau PLUS Madani sebagai perintis kepada pembaharuan di 284 kemudahan surau lain sepanjang lebuh raya kendalian syarikat konsesi berkenaan.
Berciri terbuka, Surau PLUS Madani dengan kapasiti 300 jemaah itu turut dilengkapi sistem pengudaraan semula jadi, membolehkan pengguna berasa lebih selesa ketika solat.
Kemudahan yang menampilkan rekaan lantai parket bagi mengelak haruman kurang menyenangkan itu turut dilengkapi tempat duduk kekal bagi jemaah berkeperluan khas.
Suasana ruang solat surau di kawasan Rehat dan Rawat Seremban (Arah Selatan) di Lebuhraya Utara Selatan, Seremban. - NSTP/AIZUDDIN SAAD
Bagi menampilkan elemen kelestarian, Surau PLUS Madani menggunakan air hujan dikitar semula sebagai medium jemaah untuk berwuduk, selain dilengkapi kemudahan solar bagi menjana elektrik.
Dibina dengan siling tinggi, Surau PLUS Madani turut memaksimumkan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi melalui laman terbuka, mewujudkan persekitaran terang serta mengoptimumkan penggunaan tenaga dan penyelenggaraan.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Surau PLUS Madani yang sentiasa terbuka untuk semua itu selepas merasmikan R&R Seremban (arah selatan) di sini, hari ini.
Mengulas kemudahan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyifatkan Surau PLUS Madani sebagai terbaik berbanding keseluruhan surau di kawasan R&R di negara ini.
"Biasanya, surau di R&R (keadaannya kurang memuaskan)... saya tak tahan, dengan baunya, tempat sempit. Namun, Surau PLUS Madani ini adalah surau terbaik pernah saya lihat.
"Menggunakan pengudaraan dan air semula jadi, (sistem) solar. Saya ucapkan terima kasih," katanya.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Hadir sama, Setiausaha kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim; Pengerusi Lembaga Lebuhraya, Datuk Seri Hasni Mohammad; Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif.
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|