LIAR: Tangkap layar dari video yang dikongsikan pembaca berkenaan kehadiran kumpulan memerang di taman rekreasi terbabit.
KOTA KINABALU: Tiga individu mengalami kecederaan selepas diserang sekumpulan memerang semasa melakukan aktiviti rekreasi di Tanjung Aru Perdana Park, di sini kira-kira jam 6.30 pagi Rabu.
Menurut sumber yang turut berada di lokasi, kedua-dua mangsa wanita termasuk seorang lagi lelaki dewasa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala akibat digigit haiwan liar berkenaan.
“Difahamkan ketika kejadian, seorang mangsa wanita sedang berjoging sebelum diserang kumpulan memerang terbabit.
“Beberapa individu yang melihat kejadian itu segera membantu namun turut diserang dan dua lagi individu turut cedera selepas digigit di beberapa bahagian badan,” katanya.
Beliau berkata, selepas mendengar jeritan orang meminta tolong, dia dan beberapa pengunjung lain bergegas ke lokasi untuk melihat apa yang berlaku.
“Mujurlah salah seorang daripada pengunjung yang membantu berjaya menghalau binatang berkenaan sebelum menghubungi ambulans untuk bantuan kerana keadaan mangsa yang diserang memerang agak teruk.
“Salah seorang mangsa cedera termasuk di bahagian kepala, lengan kiri dan kanan, kesemua mereka kemudian dibawa ke HQE untuk rawatan lanjut,” katanya.
|