|
Sekuel Duyung dihasilkan selepas 16 tahun
KUALA LUMPUR: Masih mengekalkan pemuliharaan alam sekitar sebagai tema, filem Duyung: Legenda Aurora menggandingkan duyung lama dan baharu yang dibintangi dua aktres jelita, Maya Karin, 44, dan Anna Jobling, 24.
Selepas 16 tahun, filem Duyung lakonan Maya dan Saiful Apek yang pernah mencipta fenomena pada 2008 kembali dengan sekuel Duyung: Legenda Aurora diterbitkan oleh KRU Studios Sdn Bhd dengan kerjasama Primeworks Studios dan 8 Bit Studio Sdn Bhd.
Kesinambungan filem romantik komedi fantasi yang kini sedang menjalani penggambaran sekitar Pulau Paya, Langkawi, Lembah Klang dan Putrajaya itu diarahkan oleh Datuk Profesor TS Dr A Razak Mohaideen.
Penerbit Eksekutif KRU Studios, Datuk Norman Abdul Halim, berkata pihaknya sepakat kembali menerusi Duyung: Legenda Aurora selepas sekian lama berehat
Katanya, KRU Studios memilih francais filem Duyung sebagai projek pertama kerana sesuai dengan jenama KRU yang sering mengangkat tema kekeluargaan, selain mengandungi mesej berkaitan pemuliharaan alam sekitar.
"Ini adalah satu detik bersejarah. Ketika menghasilkan filem Duyung dulu, kami tak terfikir akan ada filem sekuel seterusnya.
"Sebenarnya, KRU Studios sibuk dengan perkara lain sejak beberapa tahun ini. Kami bukan lupakan industri perfileman dan muzik, tapi susun strategi bagaimana mahu kekal relevan dan dalam masa sama, cari peluang baharu.
"Jadi, kami kembali dengan Duyung: Legenda Aurora yang mana kami kekalkan pemuliharaan alam sekitar sebagai tema. Disebabkan tema pemuliharaan alam sekitar ini juga buat kami mahu menjayakan sekuel bersama A Razak.
"Syukur kami dapat sekali lagi bersama A Razak dan Primeworks Studios bagi menghasilkan naskhah Duyung: Legenda Aurora.
"Duyung antara ikon filem francais KRU Studios, selain Cicakman dan Magika. Jadi, kami masih kekalkan Saiful Apek, Maya, Yasmin Hani dan Yassin Yahaya dalam sekuel baharu ini," katanya yang ditemui BH Online pada sidang media filem Duyung: Legenda Aurora di Wetland Studios, Putrajaya, baru-baru ini.
Mengulas mengenai kelainan, Norman berharap Duyung: Legenda Aurora boleh dipasarkan lebih meluas menerusi versi berbeza, selain bahasa Melayu.
"Kali ini, kami tampilkan dua 'mermaid' dan 'merman'. Selain itu, kami juga berhasrat menghasilkan filem ini dalam dua lagi versi bahasa, iaitu Inggeris dan Indonesia.
"Versi dua bahasa ini bukanlah suara pelakon lain, tapi suara pelakon asal akan diklonkan. Dengan usaha ini kami berharap filem ini akan dapat menarik penonton baharu," katanya.
Pada sidang media itu, pengarah filem Duyung: Legenda Aurora turut mengumumkan barisan pelakon iaitu Maya, Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil, Aidilia Hilda, A Shukoor Mohaideen dan ramai lagi.
A Razak berkata, ramai bertanya mengenai kesinambungan filem Duyung sejak mencapai kutipan pecah panggung pada 2008. Jadi, ini adalah masa yang sesuai untuk membuat sekuel naskhah itu.
"Selepas 16 tahun, banyak perkara yang berubah dan ia juga dinantikan sebab memang kami berhasrat menghasilkan sekuel Duyung.
"Pelakon filem Duyung bukan sahaja memiliki karakter tersendiri, tapi sering jadi sebutan.
"Jujurnya, tak mudah nak menjayakan filem Duyung, ia dihasilkan dengan keringat dan di bawah terik matahari, tapi syukur semua pelakon beri komitmen yang baik.
"Insya-Allah, filem Duyung: Lagenda Aurora akan lebih memberi impak dengan gandingan pelakon lama dan baharu. Persiapan sudah dilakukan selama enam bulan untuk dapatkan konsep lebih menarik.
"Sekuel Duyung muncul dengan satu kisah berwarna warni dengan wajah pelakon legenda dan baharu," katanya.
Bintang utamanya, Anna berkata, dia tetap gementar kerana bakal bergandingan dengan Maya di sebalik kegembiraan dan keterujaan dirasai.
"Saya berusia tujuh tahun ketika filem Duyung ditayangkan di pawagam. Saya menontonnya dan berhasrat akan dapat peluang melakonkan watak duyung suatu masa nanti.
"Saya pernah berangan nak jadi 'mermaid' ketika kecil dulu. Alhamdulillah, sekarang impian saya tercapai bila ditawarkan membintangi filem Duyung: Legenda Aurora," katanya yang memiliki kemahiran berenang dan pernah mewakili Negeri Selangor dalam sukan itu.
Maya cukup dikenali dengan pelbagai watak ikonik berkata, dia berbesar hati apabila filem Duyung dihasilkan semula dan memilih dirinya sebagai antara teraju utama.
"Saya selalu bertanya kepada A Razak dan Norman bila mereka nak hasilkan sekuel filem Duyung.
"Sebabnya, filem ini mencetuskan fenomena tersendiri pada 2008 dan masih ramai peminat bertanya mengenainya. Jadi, saya suarakan kepada mereka kerana ada permintaan," katanya.
Maya berkata, dia bersyukur hasratnya menjadi kenyataan dan digandingkan bersama Anna.
Filem bergenre komedi fantasi itu berkisarkan mengenai kemunculan semula Puteri yang memohon bantuan Jimmy untuk menyelamatkan anaknya, Aurora yang ditangkap oleh kumpulan pukat tunda haram.
Kekasih Aurora, Dashman yang juga anak kepada Jimmy dan Aspalela memulakan pengembaraan untuk menyelamatkan Aurora daripada kawalan Dr Evo. Duyung: Legenda Aurora dijangka ditayangkan, tahun hadapan.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|