CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 7286|Reply: 0

[Sabah] Sabah tetap pertahankan kedaulatan dalam Malaysia

[Copy link]
Post time 17-9-2024 01:26 PM | Show all posts |Read mode


TANDATANGAN: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menandantangani Buku Khas Hari Malaysia sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sempena Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024 di Padang Merdeka Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Sabah tidak akan berganjak walau seinci, malah akan tetap mempertahankan kedaulatan bumi bertuah ini selama-lamanya.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, walaupun rakyat dan negeri ini pernah diuji dengan pelbagai ancaman dan situasi, namun semua itu tidak akan melemahkan semangat dan iltizam rakyat untuk terus mempertahankan Sabah sebagai sebahagian daripada wilayah Persekutuan Malaysia.

"Wajar saya sebutkan di sini, sempena Hari Malaysia yang sangat signifikan ini, Sabah akan terus mempertahankan kedaulatan negeri ini untuk selama-lamanya.

"Keputusan muktamad Mahkamah Agung di Belanda, yang menolak rayuan yang difailkan oleh pihak asing baru-baru ini, adalah berita baik untuk Sabah dan rakyatnya.

"Keputusan muktamad itu sangat penting kepada Sabah kerana ia akhirnya menamatkan tuntutan yang tidak pernah diiktiraf oleh rakyat dan kerajaan.

"Penolakan rayuan itu, secara langsung mengukuhkan kedaulatan Sabah dalam Malaysia yang tidak boleh dipertikaikan, apatah lagi diganggu gugat oleh mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Padang Merdeka di sini malam ini.

Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail menjadi tetamu kehormat majlis itu.

Dalam pada itu, Hajiji turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan yang berusaha bersungguh-sungguh dalam mempertahankan hak-hak dan kedaulatan Sabah di mahkamah luar negara.

Beliau berkata, di Padang Merdeka inilah pada 16 September 1963, lebih enam dekad lalu, Sabah memeterai perjanjian penuh bersejarah, membentuk negara Malaysia.

"Malam ini, kita bersatu hati dalam mengeratkan lagi muafakat dan kata sepakat yang dimeterai 61 tahun lalu oleh pemimpin dan pejuang kemerdekaan tanah air terdahulu.

"Kita meraikan kembali detik bersejarah penyatuan dua wilayah di kepulauan Borneo dengan Semenanjung Tanah Melayu, bagi membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka.

"Dalam konteks negeri Sabah, keputusan yang dibuat oleh pimpinan terdahulu di negeri ini, antaranya seperti Tun Mustapha Datu Harun, Tun Mohd Fuad Stephens, Datuk GS Sundang dan Datuk Khoo Siak Chew, bukan sahaja suatu keputusan yang bijak dan tepat, tetapi berani, berprinsip dan berjiwa besar.

"Dengan keputusan itu, Sabah daripada sebuah negeri yang mundur kesan daripada penjajahan, mula memasuki era baharu, mengorak langkah menuju perubahan dan kemajuan dalam semua aspek kehidupan," katanya.

Menurutnya, pembangunan dan kemajuan negeri serta meningkatkan taraf hidup rakyat adalah dua agenda penting yang menjadi keutamaan kerajaan.

Katanya, walaupun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mengisi kemerdekaan dan mempertingkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, sejak lebih enam dekad lalu, Sabah mengalami perubahan yang cukup besar dalam pelbagai sektor pembangunan.

"Penyediaan dan menambah baik kemudahan asas, menjadi agenda terpenting saat ini dan kita sedang melaksanakannya.

"Sungguh pun program berbentuk infra ini memakan sedikit masa, tetapi kita tetap melaksanakannya dengan matlamat tiada kawasan yang tercicir, dan tiada rakyat yang terpinggir, termasuklah pelaksanaan program yang berkaitan dengan pembasmian kemiskinan tegar," katanya.

Beliau berkata, sejak menjadi rakan kongsi dalam penubuhan Malaysia, perubahan demi perubahan terus berlaku meliputi pelbagai sektor ekonomi dan pembangunan, khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan, sosioekonomi, infrastruktur dan tidak kurang pentingnya dalam bidang pertahanan dan keselamatan.
Selain itu jelasnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha memupuk perpaduan melalui nilai budaya dan kaum, dan menjadikan itu sebagai imej Sabah yang harmoni, bertoleransi dan saling hormat menghormati.

"Hakikatnya, Malaysia adalah sebuah negara bermasyarakat majmuk yang menjadi kebanggaan kita bersama sejak sekian lama.

"Fenomena kepelbagaian ini lebih terasa dan lebih menyerlah dalam konteks Sabah dan Sarawak," katanya.


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

28-11-2024 02:18 AM GMT+8 , Processed in 0.216858 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list