View: 41326|Reply: 0
|
[Johor]
'Kamu mampu cari pendapatan, bukan merompak' - Hakim
[Copy link]
|
|
Azizi dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Batu Pahat selepas dipenjara dua tahun dan sebatan kerana merompak.FOTO Alias Abd Rani
Batu Pahat: "Kamu mampu mencari pendapatan sendiri dan bukannya kerja merompak," demikian teguran Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh sebelum menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan satu sebatan terhadap bapa tiga anak kerana merompak pekerja sebuah kedai serbaneka, Jumaat lalu.
Tertuduh, Muhamad Azizi Aziz, 32, yang juga mekanik sebelum itu mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Pada prosiding itu, Osman Affendi turut memberitahu kejadian rompak seumpama ini berlaku secara berleluasa hingga mendatangkan ketakutan kepada masyarakat.
"Yang selalu menjadi mangsa adalah mereka yang lemah seperti wanita dan kanak-kanak, jadi perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya," katanya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak sebuah kedai serbaneka dengan mengacu pisau terhadap pekerja wanita berusia 32 tahun di Pusat Komersial, Yong Peng, pada 12 tengah malam, 13 September lalu.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.
Berdasarkan fakta kes, polis menerima laporan daripada pengadu yang juga mangsa berhubung kejadian rompak di sebuah kedai serbaneka oleh seorang lelaki memakai pelitup muka.
Siasatan polis mendapati, kejadian berlaku ketika kedai serbaneka itu mahu menutup operasi sebelum didatangi tertuduh yang berpura-pura membeli tambah nilai.
Bagaimanapun, mangsa memberitahu tambah nilai tidak dapat dilakukan kerana talian sudah ditutup sebelum tertuduh mengeluarkan pisau dan mengacu pada mangsa.
Tertuduh meminta mangsa menyerahkan wang tunai dan secara kebetulan, seorang rakan sekerja lelaki memasuki premis itu lalu menahannya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili Tan Song Yan dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Terdahulu, pihak pendakwaan mohon mahkamah mempertimbangkan hukuman setimpal dengan mengambil kira trauma yang dialami mangsa.
Selepas mendengar hujahan dan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bermula tarikh ditangkap pada 13 September lalu serta sebatan.
Disiarkan pada: September 18, 2024
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|