View: 17714|Reply: 0
|
[Tempatan]
Wujudkan sokongan kewangan mampan kepada mahasiswa
[Copy link]
|
|
Wujudkan sokongan kewangan mampan kepada mahasiswa
https://www.bharian.com.my/berit ... an-kepada-mahasiswa
Oktober 3, 2024 @ 10:20am
"Pendidikan adalah senjata paling ampuh untuk mengubah dunia," kata Nelson Mandela, sekali gus mengingatkan peranan besar pendidikan dalam membentuk individu dan masyarakat. Sejak awal minggu ini, pelajar baharu peringkat sarjana muda mula mendaftar masuk ke universiti awam (UA) yang peluang itu perlu dimanfaatkan sebagai langkah penting ke arah perubahan diri dan masa depan negara.
Universiti bukan sekadar medan untuk mendapatkan ijazah, bahkan ruang untuk pelajar memanfaatkan keilmuan dan kepakaran profesor serta ahli akademik terutama yang menjadi rujukan antarabangsa, mempertajam pemikiran kritis dan inovatif, mengembangkan kemahiran insaniah termasuk kepemimpinan serta membina jaringan. Kita berharap puluhan ribu pelajar baharu memahami kejayaan di universiti tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik, tetapi juga sejauh mana terbabit dalam pelbagai aktiviti keilmuan dan kemahasiswaan yang mampu membentuk keperibadian seimbang.
Dalam konteks ini, universiti menyediakan platform bagi mahasiswa untuk tidak sekadar menjadi golongan pendesak lantang, bahkan kelompok mampu memberikan kritikan membina disertai dengan cadangan penyelesaian realistik terhadap pelbagai isu dihadapi negara yang bakal mereka warisi. Sebagai pewaris masa depan, mahasiswa sepatutnya memainkan peranan lebih besar dalam menawarkan pandangan kritis terhadap dasar kerajaan, isu ekonomi dan sosial serta cabaran global seperti dilakukan rakan mereka di negara Barat yang kini menggerakkan suara solidariti dengan Palestin dan anti rejim Israel.
Pada masa sama, universiti juga perlu diingatkan ia bukan kilang sekadar mengeluarkan pekerja untuk pasaran kerja, sebaliknya institusi ini bertanggungjawab membina dan membentuk manusia boleh menyumbang secara holistik kepada pembangunan negara. Mahasiswa perlu dibimbing untuk mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam bidang masing-masing, sekali gus dilengkapi kemahiran insaniah tinggi.
Foto hiasan. - Bernama
Kita mengakui cabaran dihadapi mahasiswa bukan sekadar dalam dewan kuliah, bahkan kos sara hidup yang meningkat hingga memberi tekanan tambahan kepada pelajar, terutama mereka daripada keluarga berpendapatan rendah dan menengah. Kos pendidikan tidak terhad kepada yuran pengajian, bahkan merangkumi keperluan asas seperti makan minum, penginapan, pengangkutan dan peralatan pembelajaran.
Oleh itu, kerajaan perlu memandang serius aspek kebajikan pelajar dengan menyediakan mekanisme sokongan kewangan mampan yang tugas ini bukan hanya boleh diletakkan ke atas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan universiti, bahkan merentas kementerian dan pelbagai instrumen seperti wakaf, zakat serta endowmen. Usaha ini perlu dilaksanakan secara proaktif agar tiada pelajar tercicir hanya kerana kekangan kewangan. Kita tidak mahu tindakan diambil berbentuk seperti 'pahat dengan penukul' dengan menunggu hingga berlaku insiden pelajar lapar atau berdepan masalah kewangan kritikal.
Kita yakin sekiranya semua pihak menyedari peranan dan tanggungjawab masing-masing, proses pendidikan tinggi dilaksanakan hingga berupaya menghasilkan kesan optimum terutama melahirkan siswazah memiliki keilmuan dan kepakaran serta berketrampilan dan mempunyai kemahiran insaniah yang dapat menyumbang kepada pemulihan serta pembangunan negara.
|
|
|
|
|
|
|
| |
|