Video jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali berlatih dengan ibu, Jennana Johnson telah menarik perhatian ramai selepas tendangan kuat jaguh itu meninggalkan kesan di tangan ibunya.
Menerusi satu hantaran di TikTok, Muhammad Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo telah memuat naik satu video memaparkan dirinya sedang berlatih dengan Jennana di sebuah gelanggang perlawanan.
Jennana kelihatan sedang membantu Jojo berlatih dengan memegang dua pad kick boxing di tangannya untuk ditendang oleh jaguh itu.
Pada masa yang sama, Jennana juga turut memberikan beberapa tendangan dan tumbukan kepada anaknya itu bagi melatih Jojo untuk mengelak serangan musuh.
Selesai berlatih, Jojo memeriksa keadaan tangan ibunya yang memegang dua pad kick boxing dan ternyata tendangan jaguh itu terlalu kuat sehingga meninggalkan kesan lebam di tangan Jennana.
Bagaimanapun, ibu kepada jaguh Muay Thai negara itu berkata dia tidak merasa sakit dengan kesan lebam tersebut walaupun Jojo menekannya.
Apa yang membuatkan peminat Jojo terhibur adalah apabila jaguh itu bertanya pada ruangan kapsyen sama ada dia bersalah jika menendang ibunya dengan kuat sehingga meninggalkan kesan lebam.
Menjengah ke ruangan komen, ramai warga maya yang turut berseloroh dengan perkongsian daripada jaguh Muay Thai berusia 18 tahun itu.
Sumber: Oh Media |