"Sudahlah kami kerugian antara RM15,000 hingga RM50,000, malah terpaksa mengeluarkan puluhan ribu lagi membawa kes ini ke mahkamah, namun pengakhirannya begini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pihaknya berasa amat teraniaya dan seolah-olah tidak mendapat pembelaan sewajarnya.
"Bayangkanlah yang ditipu adalah warga emas yang bekerja sebagai nelayan, bekas guru dan pesara yang menggunakan simpanan seumur hidup untuk mengerjakan haji.
"Saya merayu kepada kerajaan supaya membantu bukan sahaja kami, malah ramai bakal haji yang ditipu," katanya.
Pada 29 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam dilaporkan memerintahkan syarikat Hajar Sazrul Travel & Tours Sdn Bhd (HSTT) membayar baki bayaran pakej haji menggunakan visa furada berjumlah RM634,000 kepada 25 bekas pelanggannya.
Mereka terdiri daripada kumpulan 15 individu yang berlepas ke Jeddah selepas menerima e-visa, namun terkandas di Lapangan Terbang King Abdul Aziz kerana visa terbabit adalah palsu.
Manakala 10 lagi belum berlepas kerana tidak menerima e-visa walaupun sudah menjelaskan semua bayaran pakej haji dalam insiden pada 2019.
Menerusi keputusan yang disampaikan secara dalam talian, Hakim Alice Loke Yee Ching dilaporkan memutuskan kesemua 25 individu selaku plaintif berjaya membuktikan tuntutan terhadap syarikat itu yang dinamakan sebagai defendan dalam saman berkenaan.
Pada Ogos 2019, media melaporkan seramai 26 rakyat Malaysia yang kononnya menerima visa Furada terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, Jeddah selepas imigresen Arab Saudi mendapati nama mereka tiada dalam senarai visa haji.
Kesemua jemaah berkenaan dilaporkan gagal melepasi kaunter imigresen selepas imbasan terhadap e-visa terbabit memaparkan identiti individu berbeza.
Selepas 24 jam ditahan dan terpaksa tidur di atas lantai serta kerusi, kesemua jemaah diarah pulang ke Malaysia pada 7 Ogos 2019 selain wajib melaksanakan Tahallul Ihsar (denda) kerana tidak dapat menyempurnakan ibadah haji yang sudah diniatkan.
Menerusi laporan itu, mereka datang dalam satu kumpulan menaiki penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sehubungan itu, pengurusan Hajar Sazrul Travel & Tours dilaporkan membuat laporan polis, susulan 26 jemaah Malaysia di bawah kendalian syarikat terbabit terkandas di Jeddah, Arab Saudi berhubung visa Furada dikatakan palsu.
Pengarahnya, Mohamad Sazrul Iqram Rozlan dilaporkan mendakwa, urusan visa Furada itu diuruskan oleh pegawai Kedutaan Arab Saudi di Malaysia.