Yang Maha Mulia Raja Perempuan Tengku Anis binti Almarhum Tengku Abdul Hamid (diputerakan pada 6 Januari 1949 di Palm Manor, Kota Bharu, Kelantan) merupakan mantan Raja Perempuan Kelantan. Baginda adalah permaisuri (isteri) kepada Sultan Kelantan ke-28, Almarhum Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra daripada perkahwinan mereka pada tahun 1968 sehingga kemangkatannya pada tahun 2019.
Tengku Anis diputerakan pada 6 Januari 1949 di kediaman nenda baginda di Palm Manor, Kota Bharu, Kelantan. Baginda merupakan kerabat diraja Kelantan dari sebelah bonda dan juga Pattani dari sebelah ayahanda. Merupakan puteri ketiga kepada Almarhum Tengku Abdul Hamid Bin Almarhum Tengku Muda dan Almarhumah Tengku Azizah Binti Almarhum Tengku Sri Maharaja Tengku Mohd Hamzah. Nenda baginda iaitu Tengku Mohd Hamzah merupakan bekas Menteri Besar Kelantan yang lebih dikenali dengan gelaran Tengku Sri Maharaja. Baginda menerima pendidikan awal di Sekolah Inggeris Zainab dan mendapat kelulusan Senior Cambridge dan lulus Sijil Persekolahan Malaysia. Baginda mendapat didikan agama daripada guru agama yang dibawa ke kediaman baginda. Baginda dianugerahkan dengan Ijazah Doktor Falsafah Kehormat dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Ramkhamhaeng, Thailand pada 26 Februari 2005.
Perkahwinan dan Anakanda
Tengku Anis melangsungkan perkahwinan dengan DYMM Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 4 Disember 1968 ketika Baginda berdua berusia 19 tahun. Adat istiadat perkahwinan baginda berdua diadakan di Istana Kota Lama. Baginda berdua dikurniakan 3 orang putera dan seorang puteri. Putera sulung baginda, Tengku Muhammad Faris Petra atau Sultan Muhammad V menjadi Sultan Kelantan setelah suami baginda jatuh gering. Putera kedua dan ketiga baginda ialah Tengku Muhammad Faiz Petra dan Tengku Muhammad Fakhry Petra (Tengku Mahkota Kelantan). Satu-satunya puteri baginda, Tengku Amalin A’ishah Putri (Tengku Maharani Putri) merupakan majistret wanita pertama di Kelantan(Sumber wikipedia)