Aminuddin (dua dari kanan) pada sidang media di Seremban hari ini. - Foto NSTP/Mohd Amin Jalil
SEREMBAN: Seramai 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan akan menikmati kadar saraan baharu bermula Januari tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengesahkan mengenai perkara itu, namun beliau tidak memaklumkan kadar saraan baharu berkenaan dan jumlah kenaikan.
Beliau berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang bersidang baru-baru ini meluluskan pindaan undang-undang untuk menyemak semula gaji ADUN dan Setiausaha Politik.
"Sudah 10 tahun kita tidak pernah menilai semula (gaji ADUN) dan kita (ADUN) tiada kenaikan tahunan, gaji kita antara yang terendah berbanding negeri lain.
"Alhamdulillah, kita ada lebihan dan pada 2025 kita buat Belanjawan berimbang, 10 tahun tak pernah dikaji, jadi kita buat.
"Kajian mengenai sistem saraan itu sudah dibincangkan dan diperhalusi sebaiknya tanpa mengabaikan kebajikan rakyat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Wisma Negeri di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, perkara mengenai kenaikan itu sudah dibincangkan secara mendalam sejak beberapa tahun lalu.
"Kita sudah bincangkan perkara ini, termasuk dengan pihak pembangkang untuk dapatkan angka (gaji) yang lebih baik.
"Langkah ini diambil bertujuan menyelaraskan semula gaji sedia ada memandangkan kedudukan gaji ADUN tersenarai sebagai gaji terendah, berbanding wakil rakyat di negeri lain," katanya.
Difahamkan, kenaikan itu akan membabitkan lebih 30 peratus dengan jumlah keseluruhan sekitar RM2.56 juta.
|