ANGGOTA APM menyelamatkan sekumpulan lelaki yang terkandas di Kampung Pogoh Tengah, Segamat, hari ini. FOTO Ihsan APM.
Segamat: Tiga lelaki cemas apabila terkandas dalam banjir selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki melalui kawasan dinaiki air di Kampung Pogoh Tengah, di sini hari ini.
Mereka berusia 40 hingga 60-an itu dalam perjalanan ke Kuala Pilah dari Bekok dan berpandukan Google Maps tanpa menyedari laluan di kampung berkenaan sudah ditutup kepada semua kenderaan.
Difahamkan, mangsa cuba meredah banjir di situ, namun terkandas hampir 40 minit.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor berkata, pihaknya dimaklum mengenai kejadian pada 3.40 petang dan APM Segamat diatur gerak untuk menyelamatkan mangsa.
"Pada 4.50 petang, mangsa berjaya dibawa keluar menggunakan lori ke kawasan selamat. Operasi membabitkan enam anggota," katanya dalam kenyataan.
Mangsa kemudiannya diambil rakan yang membawa mereka pulang ke Johor Bahru.
Disiarkan pada: Disember 4, 2024
|