Alor Setar: Jabatan Penjara Malaysia akan meneroka satu bidang baharu di bawah program pemulihan dalam komuniti (PDK) agar banduan atau prospek dapat bekerja dalam bidang pelombongan unsur nadir bumi (REE).
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan) Ahmad Faudzi Awang berkata, peluang dilihat apabila kerajaan Kedah merancang untuk mula melombong REE pada tahun depan.
"Kita dapat maklumat ada perlombongan terutama dalam REE, kita melihat sama ada (kesesuaian) penempatan prospek dalam perlombongan yang berlaku di Kedah
"Kita akan tengok perkembangan dari Kedah dan sekiranya perkembangan dari segi perlombongan itu berlaku, insya-Allah saya rasa Jabatan Penjara akan menceburi bidang terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Kedah di Penjara Pokok Sena, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Timbalan Komisioner Penjara Rahmat Abdul Rani dilantik sebagai Pengarah Penjara Kedah baharu menggantikan Komisioner Penjara Zainah Pardi yang akan bertugas di Bahagian Parol dan Komuniti di Ibu Pejabat Jabatan Penjara.
Ahmad Faudzi berkata, usaha itu akan diteruskan oleh pengarah baharu yang akan bertanggungjawab untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung bidang pelombangan REE di Kedah.
Katanya, sehingga kini menerusi program PDK, sebanyak 11 syarikat mendaftar untuk bekerjasama dengan Jabatan Penjara Kedah.
Sementara itu, Ahmad Faudzi berkata, pihaknya menyasarkan 30,000 prospek akan bekerja dalam komuniti pada 2030.
Katanya, ketika ini seramai 5,000 prospek di seluruh negara berada dalam komuniti.